KDN beri tempoh setahun selesai isu tiada kewarganegaraan

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan tempoh setahun kepada individu yang tidak memiliki kad pengenalan untuk mengemukakan dokumen sah bagi membolehkan mereka mendapatkan kewarganegaraan.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata isu itu berlanjutan untuk tempoh yang begitu lama sehingga mengundang pelbagai masalah, termasuk dipolitikkan oleh sesetengah pihak sebagai isu perkauman.



Tegasnya, tidak logik bagi individu yang berusia lebih 63 tahun, tetapi belum memiliki kad pengenalan.

“Maka sebab itu, saya akan bagi tempoh dalam masa setahun semua mereka mesti mendaftar dengan menggunakan bukti atau dokumen yang boleh kita anggap mereka sebagai warganegara sah.

“Kita pastikan yang warganegara tetap warganegara, yang bukan warganegara tetap bukan warganegara,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan kemudahan infrastuktur balai polis serta kebajikan anggota polis akan sentiasa diutamakan, namun mungkin mengambil masa susulan impak penularan wabak Covid-19.



Beliau berkata, atas faktor kelembapan ekonomi akibat wabak itu, terdapat beberapa rancangan untuk membaiki dan menaik taraf balai polis terpaksa ditangguh.

Rang Undang-undang Perbekalan 2021 bagi kementerian itu lulus dengan suara majoriti selepas dibahas 12 Ahli Parlimen masing-masing enam daripada penyokong kerajaan dan pembangkang.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker