Kakitangan imigresen didenda RM30,000 rasuah cop keluar masuk negara

Seorang kakitangan Jabatan Imigresen didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan pilihan menerima suapan bagi mendapatkan cop keluar masuk negara membabitkan warga asing dua tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin, di Mahkamah Sesyen Melaka, di sini hari ini.

Hakim menjatuhkan hukuman denda terhadap tertuduh, Muhammad Shafiq Suboh, 29, RM10,000 bagi setiap tuduhan atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama, pada 30 Julai tertuduh ketika menjawat jawatan Pegawai Imigresen Gred KP19 yang bertugas di Jabatan Imigresen Bangunan Sultan Iskandar Shah, Johor Bahru, didapati memperoleh suatu barang berharga tanpa balasan iaitu wang berjumlah RM360 oleh pemberi, Mohd Azril Azizan.

Pemberian itu adalah untuk mendapatkan perakuan cop keluar masuk pada pasport warga asing tanpa perlu keluar dari Malaysia.

Sementara, mengikut pertuduhan pilihan kedua dan ketiga, tertuduh turut didapati melakukan kesalahan sama yang membabitkan suapan masing-masing bernilai RM320 dan RM800.

Semua kesalahan itu dilakukan menerusi akaun CIMB Bank Berhad di Taman Mutiara Melaka, Batu Berendam membabitkan tiga transaksi berasingan pada Julai, Ogos dan September 2018.

Justeru, tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda sehingga RM 100,000 atau keduanya.

Tertuduh merayu supaya mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan mengambil kira kesalahan itu adalah kali pertama dilakukannya, selain baru mendirikan rumah tangga Mac lalu dan bakal menerima cahaya mata pertama.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat bagaimana pun memohon hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh menggadaikan keselamatan negara, selain kes ini turut mendapat perhatian masyarakat. BH

Palsu cop sempadan: 40 pegawai JIM, 3 ejen dicekup

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker