Syarikat penerbangan tempatan kembali bernafas

Pembukaan semula sempadan negeri sejak 6 Disember lalu memberi kelegaan kepada sektor penerbangan domestik dan mengembalikan prospek positif ke atas industri yang begitu terjejas oleh COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, berkata sejak pembukaan semula sempadan negeri, kadar jualan tempat duduk syarikat penerbangan tambang rendah itu meningkat sekitar tiga kali ganda berbanding tempoh sekatan dikuatkuasakan.

Katanya, antara laluan penerbangan yang paling popular ditempah adalah Kuala Lumpur-Langkawi, Kota Bharu-Kuala Lumpur, Kota Kinabalu-Tawau, Langkawi-Pulau Pinang dan Kuala Lumpur-Pulau Pinang.

“Permintaan perjalanan di semua hab kami menunjukkan peningkatan yang tinggi. AirAsia cuba untuk memenuhi permintaan perjalanan di dalam pasaran, malah kami sudah memperluaskan jaringan domestik dengan lapan lagi laluan baharu.



“Laluan baharu ini menghubungkan Langkawi-Ipoh, Langkawi-Kota Bharu, Johor Bahru-Bintulu, Johor Bahru-Kota Bharu, Pulau Pinang-Sibu, Pulau Pinang-Kota Bharu dan Kuching-Langkawi.

“Setiap laluan akan beroperasi dengan tiga penerbangan mingguan yang akan bermula bulan ini, sementara penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu dijadualkan bermula pada Februari 2021,” katanya ketika dihubungi BH di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Riad berkata, perjalanan udara domestik adalah antara sektor penting untuk menghidupkan kembali ekonomi terutama sektor pelancongan.

“Baru-baru ini, kami mengumumkan lapan laluan domestik baharu dan menjangka promosi Cuti-Cuti Malaysia yang bermula daripada RM12 ini akan memenuhi permintaan perjalanan domestik.



“Penambahan rangkaian domestik baharu antara bandar membolehkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan dengan mudah dan kami juga berharap langkah ini dapat mengembangkan lebih banyak peluang perniagaan tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Mengenai operasi pasca PKPB, Riad berkata, AirAsia juga suda melaksanakan prosedur tanpa sentuhan sepanjang perjalanan dan langkah keselamatan baharu, serta kemudahan untuk mereka yang berisiko, selain mematuhi nasihat dan peraturan daripada kerajaan tempatan dan pihak berkuasa kesihatan.

“AirAsia bekerjasama secara aktif dengan semua pengawal selia, kerajaan tempatan, pihak berkuasa penerbangan awam dan kesihatan.

“Kami juga mematuhi panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk memastikan standard tertinggi dalam setiap penerbangan.



“Semua pesawat kami yang dilengkapi dengan Penapis Udara Kecekapan Tinggi (HEPA) standard hospital juga akan melalui prosedur pembasmian kuman secara menyeluruh selepas setiap penerbangan,” katanya.

Sementara itu, Malaysia Airlines dalam maklum balas kepada BH, berkata, syarikat penerbangan nasional itu kekal optimis dengan industri pelancongan tempatan dengan pembukaan sempadan negeri dijangka melonjak permintaan dan menggalakkan pelancong domestik melawat destinasi menarik dalam negara.

“Malaysia Airlines melanjutkan program Insentif Cuti Malaysia sehingga 20 Disember dan melancarkan beberapa kempen diskaun serta produk bagi menggalakkan rakyat melancong.

“Kami akan terus melihat dan menyelaras kapasiti penerbangan untuk memenuhi permintaan pasaran,” katanya. BH



Jarak sosial dalam pesawat tidak wajib, risiko jangkitan rendah, kata AirAsia

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker