7 Hospital Tolak Wanita Hamil

Sulawesi Selatan: Menyayat hati apabila seorang wanita hamil yang ditolak untuk rawatan di tujuh hospital meninggal dunia bersama bayi di dalam kandungannya dipercayai akibat gagal mendapat rawatan segera.

Portal Kompas melaporkan insiden itu berlaku ketika Hartina hampir melahirkan cahaya matanya.

Tujuh hospital itu adalah Hospital Bantaeng, Hospital Jeneponto, Hospital Takalar, Hospital Labuang Baji, Hospital Kartini, Hospital Ananda dan Hospital Pelamoni.



Ahli keluarganya, Haerul berkata, Hartina mulanya dibawa ke Pusat Kesihatan Masyarakat (Puskesmas) Bonto Bangun, Bulukumba.

Wanita itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Bantaeng namun ditolak oleh hospital berkenaan.

Keluarga kemudian membawa Hartina ke Hospital Jeneponto dan Hospital Takalar tetapi perkara sama berlaku apabila tidak diterima sebagai pesakit.

“Awalnya Hartina dihantar ke Puskesmas Bontobangun Bulukumba tetapi kesnya dirujuk ke Hospital Bantaeng.

“Namun, pihak Hospital Bantaeng enggan menerimanya sebaik tiba di pintu masuk.



“Selepas itu, kami membawanya ke Hospital Jeneponto dan Hospital Takalar, namun turut ditolak untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurut Haerul, Hartina kemudiannya dikejarkan ke Hospital Labuang Baji Makassar tetapi ditolak kerana tidak melakukan ujian saringan Covid-19.

Layanan sama turut diterima Hospital Kartini dengan alasan tiada kemudahan Unit Rawatan Rapi (ICU) begitu juga dengan Hospital Ananda.

Haerul berkata, selepas itu keluarga membawa Hartina ke Hospital Pelamoni yang akhirnya memberikan rawatan.



“Namun, dia hanya diberikan bantuan oksigen dan ubat anti kejang ketika berada di dalam ambulans.

“Hartina tidak dibawa turun sebaliknya dibawa ke Hospital Wahidin tetapi meninggal dunia sebelum sempat ditempatkan di wad bersalin,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga kesal dengan keadaan yang berlaku.

“Dari kampung hingga ke bandar kami cuba mendapatkan rawatan namun pihak hospital tidak bertimbang rasa. Bagaimana jika ahli keluarga mereka mengalami nasib yang sama?” katanya.



Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan Perubatan Hospital Ananda, Fira berkata, pihak hospital tidak mempunyai kemudahan intensif untuk Hartina.

“Ketika tiba di hospital, doktor cuba memeriksa Hartina di dalam kenderaan dan mendapatinya dalam keadaan kejang dan mempunyai darah tinggi.

“Dalam keadaan begitu, kami berasakan dia memerlukan kelengkapan rawatan intensif yang tidak terdapat di hospital kami.

“Disebabkan itu, kami meminta ahli keluarga Hartina merujuknya ke Hospital Labuang Baji,” katanya.



Dalam pada itu, Ketua Khidmat Pengurusan Perubatan Hospital Bantaeng, Dr Hikmawati menafikan menerima kedatangan pesakit bernama Hartina.

“Kami ada menyemak rekod kehadiran tetapi tiada pesakit bernama Hartina yang mendaftar. Jika ada, tentunya maklumat itu ada di dalam rekod kami,” katanya.-HM

Kompas

Ibu tunggal ditolak bantuan Penjana boleh mohon semula sebelum 31 Okt



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker