Hasrat Warisan lebar sayap ke Semenanjung tidak relevan Hasrat Warisan lebar sayap ke Semenanjung tidak relevan



Sebaran :

Hasrat Parti Warisan Sabah (Warisan) melebarkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia sebagai tidak relevan buat masa ini.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, asas itu berdasarkan beberapa faktor terutamanya konteks politik tempatan di Semenanjung yang tidak menerimanya.

Menurutnya, ia disebabkan di Semenanjung Malaysia sudah mempunyai terlalu banyak parti politik sama ada parti yang berpaksikan Melayu Islam dan juga parti bersifat majmuk yang menerima kemasukan pelbagai kaum.



“Cadangan itu juga tidak sesuai kerana dalam konteks di Sabah sendiri kita lihat dengan jelas tahap penerimaan rakyat terhadap Warisan melalui keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

“Jadi bagi saya amat sukar bagi Warisan untuk melebarkan sayap mereka kecuali parti itu sendiri mempunyai satu modal politik yang kukuh demi meyakinkan orang ramai agar boleh mengikuti parti tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Warisan sebelum ini dilaporkan akan melebarkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia untuk mengembangkan prinsip perpaduan yang diketengahkan parti itu.



Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, kempen PRN Sabah ke-16 memperlihatkan bahawa ia mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk rakyat dari Semenanjung Malaysia.

Ariff Aizuddin berkata, Warisan sukar mendapat sokongan kerana ia sebuah parti bersifat kewilayahan yang spesifik dan juga memperjuangkan isu spesifik yang melibatkan urus tadbir dalam konteks kenegerian.

“Kalau Warisan dibawa ke Semenanjung, saya fikir agak sukar untuk parti itu mengolah semula ideologi mereka kerana konteks politik di Semenanjung ini agak berbeza dengan apa yang berlaku seperti di Sabah.



“Saya berpendapat, pucuk pimpinan tertinggi Warisan perlu memikirkan semula hasrat itu kerana ia bukan satu cadangan yang mudah untuk mewujudkan sebuah parti bersifat kenegerian ke dalam konteks politik tempatan,” katanya.

Malah, katanya, cadangan tersebut akan mencetuskan pertelingkahan politik pilihan raya terutama dari sudut pembahagian kerusi.

Berikutan itu, katanya, adalah lebih baik untuk Warisan mengekalkan status quo di Sabah dan cuba melakar satu prestasi yang lebih baik pada masa akan datang di dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).



Sementara itu, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Akram Shah Mohd Gadafi Sanusi menyambut baik langkah Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk melebarkan sayapnya ke Semenanjung.

Beliau yang juga penyokong Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, kemasukan parti itu ke Semenanjung akan memperkukuhkan lagi blok ketiga.

“Saya mengalu-alukan kesediaan Warisan mengembangkan sayap ke Semenanjung kerana kita dapat lihat parti itu mempunyai prinsip dan pendirian apabila tidak bersetuju dengan cara peralihan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.



“Malah, Warisan juga dilihat tidak lagi cenderung ke arah Pakatan Harapan (PH), sebaliknya bersama-sama blok Bebas yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Jadi, dengan prinsip kuat yang dipegang Warisan serta semangat perpaduan yang dibawa parti pastinya akan mendapat sokongan rakyat di Semenanjung,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Ketua ARMADA, Wan Fayhsal pertahan janji keluarkan surat sokongan


Sebaran :


Leave a Reply