Pulau Pinang kaut untung dari sumber air percuma, mana boleh – Sanusi

Tak wajar Kedah korban hutan tadah air, P. Pinang kaut untung percuma – Sanusi

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tidak wajar bagi kerajaan Kedah mengorbankan hutannya yang luas untuk dijadikan kawasan tadahan air sementara Pulau Pinang mengaut keuntungan daripadanya secara percuma.

Justeru katanya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan kerajaan Pulau Pinang patut membayar caj pengekstrakan air daripada sumber air mentah Kedah agar manfaatnya dapat dikongsikan dengan rakyat di kedua-dua negeri.

Beliau berkata, PBAPP mengekstrak 80 peratus sumber air mereka daripada Sungai Muda setiap hari iaitu sebanyak 1.1 juta liter sehari (mld).

“Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) mengenakan caj kepada pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) bagi setiap meter padu yang diekstrak (800 mld) bagi tujuan membekalkan bekalan air terawat kepada seluruh rakyat Kedah.

“Caj yang sama patut dikenakan kepada pihak PBAPP yang mengekstrak setiap meter padu menggunakan sumber air berasal daripada Sungai Muda, walaupun sumber air yang diekstrak ialah di sebelah sempadan negeri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, tiada sesiapa dapat menafikan bahawa air yang mengalir di Sungai Muda berasal dari Kawasan Tadahan Ulu Muda di Kedah.

Katanya, kawasan tadahan air seluas 163,000 hektar itu memerlukan pengekalan dan kelestarian serta tidak diusahakan dengan aktiviti ekonomi yang mengubah rupa bumi dan fungsinya untuk menjamin bekalan air yang mencukupi kepada 4.06 juta rakyat Kedah, Perlis serta Pulau Pinang.

Muhammad Sanusi juga berkata, Perjanjian 1985 perlu disemak semula memandangkan keperluan bekalan air dan pembangunan serta pengekalan kelestarian alam semula jadi bagi tujuan mengekalkan sumber air telah meningkat.

“Merujuk kepada Perjanjian 1985, persepakatan yang dicapai bertujuan ‘menjamin bekalan air dari Ulu Muda yang terletak di negeri Kedah’ dan jaminan hanya bermaksud menjamin bekalan air kepada Pulau Pinang, bukan jaminan bekalan air mentah secara percuma selamanya,” katanya.

Katanya, apabila wujud kos untuk penyelenggaraan sumber dan aliran, sewajarnya kos itu turut dipikul oleh Pulau Pinang selaku pihak penerima faedah.

“Apatah lagi, kos melepas akibat pengekalan kawasan tadahan di Ulu Muda semakin hari semakin meningkat,” katanya.

Isu tuntutan caj air mentah membabitkan Pulau Pinang, berjumlah kira-kira RM50 juta setahun, kini hangat diperkatakan apabila kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan itu enggan menjawab tuntutan bertulis yang dihantar kerajaan Kedah sejak 2010. – Bernama

Sanusi smash P. Pinang: Bayar dulu air mentah Kedah sebelum komen macam-macam

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker