Kerajaan BN Johor beri peruntukan ADUN pembangkang naik tiga kali ganda

ISKANDAR PUTERI – Peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini dinaikkan tiga kali ganda daripada RM50,000 menjadi RM150,000 bermula tahun depan.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad semasa membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Menurut Hasni, peruntukan itu sebagai bukti tanggungjawab dan keprihatinan kerajaan negeri membantu wakil rakyat pembangkang dalam menyelesaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing.



Beliau memberitahu, elaun bagi Ketua Pembangkang juga dinaikkan daripada RM3,000 menjadi RM5,000.

“Bagi meraikan peranan pembangkang yang bersifat konstruktif dan mengangkat martabat institusi wakil rakyat, saya dengan berbesar hati akan menaikkan peruntukan ADUN pembangkang daripada RM50,000 menjadi RM150,000.

“Selain itu, bagi memberikan lebih pengiktirafan kepada Ketua Pembangkang, saya mencadangkan elaun beliau dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 dan disediakan seorang pembantu tadbir,” katanya.

Menteri Besar Johor berkata, menerusi Agenda Governans Johor, kerajaan negeri tetap beriltizam untuk menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan dan urus tadbir supaya lebih cekap, berintegriti dan memenuhi aspirasi rakyat.



“Transformasi Governans Johor dapat dilaksanakan menerusi pemerkasaan penjawat awam dan inisiatif pemodenan seperti berikut.

“Pertama, bagi meningkatkan kompetensi dan kapasiti penjawat awam, kerajaan negeri telah mewujudkan Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (Johor Civil Service Academy),” katanya.

Kedua katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan badan-badan profesional bagi membuka ruang kepada penjawat awam negeri untuk memiliki kelayakan profesional dalam bidang teknikal dan bukan teknikal seperti Insinyur (Ir), Surveyor (Sr) dan akauntan bertauliah (CA).

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan melaksanakan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan berasaskan kecemerlangan untuk kali kedua.



Ini bertujuan untuk memberikan laluan kerjaya yang lebih baik kepada pegawai kumpulan pelaksana dalam perkhidmatan awam negeri, katanya.

Keempat ujarnya, kerajaan negeri juga merafak sembah takzim Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) menjadi sebuah bandar raya berkuat kuasa pada 22 November lalu.

“Dengan pemasyhuran Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) ini, ia akan meningkatkan keupayaan MBPG dalam menguruskan pembangunan pesat, melestarikan sektor ekonomi yang berteraskan industri dan pelabuhan di Pasir Gudang serta memelihara alam sekitar selaras dengan Dasar Kelestarian Negeri Johor,” katanya.



Kerajaan negeri kata Hasni, kini turut dalam proses meneliti cadangan untuk menaik taraf Majlis Daerah Pontian menjadi perbandaran selain menggiatkan lagi pendigitalan tadbir urus kerajaan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker