AmanahRaya Akan Perbaiki Prestasi Dana

Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) sudah mengambil beberapa langkah bagi memperbaiki prestasi dana seperti yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1.

Laporan berkenaan mendedahkan pengurusan dana oleh AmanahRaya didapati tidak cekap kerana mengalami defisit sejak 2008 hingga 2019.

Laporan yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini merumuskan bahawa pendapatan bersih tahun semasa tidak dapat menampung jumlah agihan pendapatan dan prestasi pelaburan dana KWB (Kumpulan Wang Bersama) adalah tidak cekap.

Menerusi satu kenyataan hari ini, AmanahRaya memaklumkan bahawa badan itu sudah mengambil beberapa langkah untuk memperbaiki prestasi dana dan satu pelan pemulihan dana sudah dibentangkan serta diluluskan oleh lembaga pengarahnya.



Kenyataan itu juga memaklumkan defisit dana yang dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) berlaku kerana pelaburan dalam pembelian aset tidak mudah tunai.

Bagaimanapun, AmanahRaya kini dalam proses melaksanakan pemulihan secara beransur-ansur dan proses pemulihan mengalami kelewatan disebabkan oleh pandemik yang melanda negara.

AmanahRaya yakin pelan pemulihan berkenaan berupaya untuk menyusutkan nilai defisit sebanyak RM400 juta dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.

Selain itu, pengiraan defisit dana dalam laporan kewangan syarikat adalah berdasarkan pada nilai saksama berbanding nilai buku kerana pelaporan perlu mematuhi piawaian Standard Pelaporan Entiti Swasta Malaysia (MPERS) bermula 2008.



Nilai defisit seterusnya mengalami peningkatan yang lebih ketara berikutan ketidakstabilan pulangan dalam pelaburan ekuiti akibat penurunan indeks pasaran KLCI selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

AmanahRaya menjangkakan defisit dana akan mengalami penyusutan tambahan sebanyak RM100 juta apabila pertumbuhan ekonomi kembali positif.

Secara keseluruhannya, dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang penyusutan defisit akan menjangkau sehingga RM500 juta.

Pihak pengurusan dan lembaga pengarahnya menjangkakan defisit dana akan pulih sepenuhnya menjelang 2025.



AmanahRaya juga akan terus mempertingkatkan proses tadbir urus sedia ada di samping penelitian secara serius terhadap isu yang dibangkitkan dalam laporan audit itu.-HM

Pengurusan Dana AmanahRaya Tidak Cekap Sebabkan Defisit



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker