Royalti: Penyanyi, pemuzik rakaman perlu tampil jika berhak

KUALA BERANG: Penyanyi dan pemuzik rakaman yang layak menerima royalti tetapi nama tercicir daripada senarai persatuan diminta menghubungi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata setakat ini pihaknya telah menerima nama 1,000 ahli Recording Performers Malaysia (RPM) dan Performers Rights dan Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) yang bakal menerima RM500 sebagai bayaran pendahuluan mulai awal bulan depan.

“Jika ada yang tercicir, ada jumlah tertentu yang mereka akan terima jika mereka berhak, pihak kami akan meneliti dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan, selaku Ahli Parlimen Hulu Terengganu, di Kampung Dusun, di sini hari ini.

Beliau berkata pengiat seni akan menikmati tunggakan royalti berkenaan melalui Jabatan Insolvensi (MDI) selaku badan penyelia PRISM, selepas ia dibubarkan pada November 2018 dan penggulungan secara sukarela PRM Julai lalu.

“Walaupun MyIPO hanya sebagai pemudahcara atau badan perantara dalam isu ini, kami memandang serius permasalahan yang membelenggu penggiat seni tempatan,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply