Klinik Ajwa Abadi Mural Petugas Barisan Hadapan

SHAH ALAM: “Kami bukanlah wira. Ada ketika kami juga menangis,”.

Demikian perkataan diabadikan menerusi mural gergasi pada dinding Klinik Ajwa, Seksyen 7 di sini, yang didedikasikan kepada petugas barisan hadapan.

Mural menyentuh emosi itu memaparkan tiga petugas kesihatan sedang berpelukan ketika mendepani cabaran musim pandemik Covid-19 hasil lukisan Muhamad Firdaus Nordin, 26, yang disiapkan sepenuhnya pada 3 November lalu.

Pengarah Urusan Ajwa Corporation Sdn. Bhd, Hanizam Samsudin berkata, idea itu diinspirasikan menerusi kisah satu pasangan suami isteri yang juga petugas barisan hadapan di Negeri Sembilan.

“Kisah itu menceritakan keperitan dan pengorbanan pasangan tersebut yang jarang bertemu demi berkhidmat untuk negara memerangi Covid-19.

“Tersentuh dengan perkara itu, saya mendedikasikan pengorbanan semua petugas barisan hadapan menerusi mural di bangunan ibu pejabat Klinik Ajwa sejak bulan lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, hari ini.

Hanizam menambah, pihaknya turut terharu dengan sambutan positif masyarakat yang semakin menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan.

“Sepanjang tempoh lebih sebulan, kita mendapati ramai pengunjung mengambil kesempatan bergambar di mural tersebut yang menunjukkan tahap kesedaran terhadap petugas hadapan semakin tinggi,” ujarnya.

Dalam pada itu, tambahnya, Klinik Ajwa turut menyediakan perkhidmatan ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu sejak September lalu.

“Langkah yang lebih mudah, pantas dan tepat itu sekali gus turut menyahut saranan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sambutan daripada pelanggan amat menggalakkan dan semakin bertambah saban hari,” katanya.

[VIDEO] Lukisan Bermesej, Sindiran Dr Arisman

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker