[VIDEO] Lukisan Bermesej, Sindiran Dr Arisman

Shah Alam: Bakat melukis yang ada sejak di bangku sekolah tidak disia-siakan Dr Arisman Wenge Abd Rahman, sebaliknya dimanfaatkan untuk menyampaikan mesej positif menerusi penghasilan karya lukisan digital di peranti tablet.

Dr Arisman, 31, yang bertugas di Klinik Ajwa di sini, berkata, antara lukisan yang sering dihasilkannya adalah potret, karikatur, pemandangan, ilustari dan gambar tular di media sosial.

Menariknya, setiap karyanya itu diselitkan dengan mesej, informasi penting, nasihat dan sindiran dalam bentuk jenaka sebagai peringatan secara am antaranya berkaitan kepercayaan salah masyarakat terhadap mitos kesihatan.

Bercerita lanjut, Dr Arisman yang berasal dari Beaufort, Sabah itu berkata, bakat melukisnya diwarisi daripada ibunya, Acheh Kassim, 62, dan turut ada pada adik-beradiknya yang lain.

Ketika bangku sekolah, Dr Arisman pernah menyertai pertandingan melukis poster sehingga layak bertanding di peringkat negeri.

“Cuma, kesibukan ketika menyambung pengajian dan selepas bekerja menyebabkan saya tiada masa untuk meneruskan hobi itu.

“Saya kembali melukis pada awal tahun lalu dan semakin aktif selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu mungkin kerana ada sedikit masa disebabkan waktu kerja yang singkat.

“Saya aktif memuat naik hantaran penulisan di Facebook (FB), jadi saya gunakan lukisan sebagai medium tambahan untuk menyampaikan mesej tertentu kepada pengikut,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Seksyen 7 di sini.

Menurut Dr Arisman, dia tidak menetapkan waktu tertentu untuk melukis kerana lebih selesa berkarya jika ada keinginan melakukannya.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=MB33r4y7k5U[/embedyt]

“Saya melukis tidak tentu masa dan ikut ‘mood’ juga tetapi kebiasaannya pada waktu lapang.

“Kebanyakan lukisan saya adalah berpandukan gambar yang tular di media sosial dan potret yang mengambil masa dua hingga tiga jam untuk disiapkan.

“Lukisan karikatur adalah idea asal saya sendiri dan mendapat inspirasi daripada isu semasa misalnya berkaitan cabaran petugas barisan hadapan yang mana ia mengambil masa sejam untuk disiapkan.

“Ada satu lukisan yang paling sentimental buat saya kerana melukisnya berpandukan gambar dikirim Pengasas Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh, Haliza Abd Halim.

“Gambar itu menunjukkan senyuman seorang lelaki warga emas yang memegang erat barangan sumbangan seolah-olah terlalu bersyukur dengan bantuan diterima,” katanya yang pernah bertugas di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Sabah, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang dan Hospital Shah Alam.

 

Antara lukisan dihasilkan Dr Arisman. Foto Ezairi Shamsudin
Antara lukisan dihasilkan Dr Arisman. Foto Ezairi Shamsudin

Anak keenam daripada lapan beradik itu mengakui ada individu yang berminat untuk membeli dan mengupahnya menghasilkan lukisan tertentu.

Buat masa ini, Dr Arisman menjelaskan dia belum berhasrat ke arah itu kerana melukis sekadar satu hobinya ketika ini.

“Saya tidak pernah terfikir untuk mengambil tempahan, menjual atau mengkomersialkan lukisan dihasilkan kerana sekadar melukis untuk kepuasan sendiri di samping menghilangkan tekanan.

“Saya bukanlah pelukis profesional kerana tidak pernah belajar secara formal atau mengikuti kelas lukisan sebaliknya hanya berbekalkan bakat yang ada saja tetapi puas apabila mesej daripada lukisan itu sampai kepada sasarannya.

Lukisan Dr Arisman disampaikan dengan mesej. Foto Ezairi Shamsudin Lukisan Dr Arisman disampaikan dengan mesej. Foto Ezairi Shamsudin

“Niat saya melukis hanyalah untuk memberi mesej positif, berkongsi informasi berguna dan menghiburkan pengikut di laman sosial,” katanya.-HM

Sumber: Facebook

‘KL Skyline view’ hadiah buat Dr Noor Hisham

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker