Jangan jadikan pencarum seperti peminta sedekah – UNI-MLC

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-Malaysia Labour Centre (UNI-MLC) mahu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memudahkan proses pengeluaran dan memberi jaminan bahawa setiap permohonan akan diselesaikan dalam masa 14 hari.

Pengurusan dana wang pencen itu turut dituntut tidak mengenakan syarat-syarat yang terlalu rigid dan tidak munasabah.

UNI-MLC juga mahu Ahli-Ahli Parlimen yang telah membahas dan meluluskan pengeluaran caruman ketika Covid-19 ini supaya mengambil tindakan ke atas Ppengurusan KWSP kerana tidak mematuhi dan menghormati keputusan yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 26 November lalu.

Presidennya, Mohamed Shafie Mammal mendakwa pihaknya menerima banyak aduan dan rungutan daripada pencarum-pencarum yang melahirkan perasaan tidak puas hati di atas tindak-tanduk KWSP yang menyulitkan pengeluaran i-Sinar.

Menurutnya, semasa penggulungan ucapan Belanjawan 2021 di Parlimen, Tengku Zafrul telah memaklumkan bahawa kira-kira lapan juta ahli KWSP iaitu mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 boleh mengeluarkan wang simpanan mereka.

Tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan atau pendapatan mereka berkurangan tahun ini, ahli berkenaan layak memohon untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 1.

Tegasnya, kenyataan Menteri Kewangan disambut baik bukan sahaja di Parlimen, juga dalam kalangan pencarum.

Namun, kenyataan terbaharu KWSP yang menyatakan i-Sinar tidak bersyarat dan apa yang dicirikan adalah kriteria untuk memastikan permohonan selari dengan data sedia ada KWSP yang akan membolehkan proses kelulusan dipercepatkan dengan mudah dan selamat.

”UNI-MLC ingin menegaskan bahawa keputusan yang dicapai di Parlimen mempunyai semangat yang berlainan dan selepas kelulusan tersebut, KWSP pula mempunyai semangat yang berlainan dan bertentangan dengan jaminan yang telah diberikan oleh Menteri Kewangan di Parlimen.

”UNI-MLC mempersoalkan siapa yang mempunyai lebih kuasa, adakah Parlimen ataupun pengurusan KWSP?,” soal Mohamed Shafie.

Menurutnya, sekiranya Menteri Kewangan telah berbincang dengan KWSP sebelum pembentangan di Parlimen, sudah tentu kedua-dua Kementerian Kewangan dan KWSP mempunyai satu nada, satu suara dan satu hala tuju dalam perkara ini.

Akan tetapi pada hari ini, KWSP seolah-olah cuba ‘overule’ keputusan yang telah diumumkan di Parlimen yang merupakan institusi mulia dan dihormati oleh rakyat.

Mohamed Shafie menambah, pencarum-pencarum hari ini bukan boleh diperbodohkan, sebaliknya mereka juga lebih pintar dan lebih peka dengan apa yang telah diputuskan di Parlimen.

”Jangan jadikan pencarum-pencarum seperti peminta sedekah ke atas duit mereka sendiri yang disimpan di dalam KWSP. Sepatutnya KWSP membantu dan memudahkan para pencarum dalam mengeluarkan simpanan mereka ketika berhadapan dengan situasi sukar akibat Covid-19,” katanya.

Jika Pengurusan KWSP berpendapat mereka tidak mampu berhadapan dengan keadaan pada masa kini, adalah lebih baik pengurusan KWSP berundur secara terhormat supaya tidak merumitkan dan membebankan para pencarum.

Lagipun, katanya, semua pegawai dan kakitangan di KWSP merupakan barisan yang telah terlatih dan mempunyai data-data yang canggih untuk menguruskan pengeluaran wang.

Jika sistem ini berjalan dengan secara profesional, UNI-MLC berpandangan bahawa tempoh maksimum yang diperlukan untuk meluluskan permohonan pengeluaran adalah 14 hari, bukan sehingga memakan masa dua atau tiga bulan,” ujarnya. MG

CEO KWSP dah give up?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker