Mayat tergantung diikat pada kayu, kepala di lantai


GOMBAK: Penemuan mayat tanpa kepala di sebuah rumah kosong tidak berpenghuni di hutan Gombak Tengah Tambahan, Kilometer 10 Gombak bermula dengan laporan yang diterima polis daripada seorang pengadu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan telah dijalankan kira-kira pukul 10.50 pagi Isnin di rumah berkenaan, disertai sepasukan anggota Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, serta dibantu Unit Anjing Pengesan K9 PDRM dan anggota Bomba dan Penyelamat.

Setibanya di lokasi, satu mayat lelaki tergantung dalam keadaan tidak sempurna ditemui di dalam sebuah rumah kosong di lokasi kejadian.

“Apabila tiba di lokasi dapati ada sebuah rumah kosong tidak berpenghuni.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai satu rangka lelaki, dengan (identiti) bangsa tidak pasti mengenakan seluar jean warna biru dan baju belang warna coklat putih, serta dalam keadaan tidak sempurna.

“Bahagian tengkorak kepala berada di lantai manakala bahagian badan masih tergantung dengan tali yang diikat pada kayu bumbung rumah tersebut,” katanya.
Pemeriksaan lanjut bagaimanapun tidak menjumpai sebarang pengenalan diri mayat terbabit.

Sisatan awal mendapati, rumah di lokasi terpencil itu telah ditinggalkan lama dan tidak diketahui pemiliknya.
Bagaimanapun, tiada sebarang unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian.

“Pusat Kesihatan Daerah Gombak (PKD) telah mengambil sampel dari rangka untuk ujian COVID-19. Rangka manusia tersebut telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya. Kes diklasifikasi sebagai Laporan Mati Mengejut sehingga laporan post-mortem diperolehi,” katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ketua Polis Balai Gombak Asisten Superintendan Syed Azizi Jamalullail Syed Abdul Aziz di talian 03-6189 5222 atau 012-376 6220.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker