Kerjasama UMNO, DAP di Perak: Integriti dan prinsip amat mustahak

INTEGRITI dan prinsip dalam perjuangan amat mustahak. Tanpa kedua-duanya kawan, lawan dan rakyat tidak akan ada keyakinan lagi kepada apa yang akan UMNO katakan.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan menengaskan perkara itu mengenai ura-ura hubungan kerjasama parti itu dengan DAP dalam membentuk sebuah kerajaan negeri di Perak.

“Kalau sampai suatu waktu orang tak percaya lagi apa kita cakap dan pejuangkan, apa lagi modal naratif yang kita nak bawa?

“Apa lagi sumber kredibiliti kita di mata pengundi, termasuk ahli kita sendiri apatah lagi pengundi muda atas pagar?

“Segala tindakan kita mesti mengambilkira soal dua aset politik ini: yakni integriti dan prinsip membawa kepada kebolehpercayaan,” kata Shahril Sufian.

Tegas beliau, adalah satu fakta bahawa kuasa politik amat mustahak namun ia tidak sepatutnya sehingga menjadikan ‘matlamat menghalalkan semua cara’.

“Jika kita dengan parti lain ada garis merah yang tidak akan dikompromi, tentunya kita dalam parti dan dengan diri sendiri pun mesti ada garis merah.

“Barulah benar laungan “UMNO sebuah perjuangan” dan bukan sekadar “sebuah parti politik”.

Jelas beliau, pendirian yang dizahirkan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menekankan pendirian UMNO Bera terhadap prinsip “No PKR No DAP” kekal selaras dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini.

Menurutnya, pendirian tegas tersebut bukan hanya terpakai di Bera tetapi semua bahagian UMNO kerana ia melibatkan dasar parti.

Justeru katanya, apa yang berlaku di Perak belum sampai ke penamat dan ia menjadi urusan yang lebih diketahui pimpinan di Perak untuk diuruskan.

“Yang tentu, semua warga UMNO mengharapkan penamat yang harmoni seperti digambarkan dalam kenyataan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan semalam di mana dua parti lain (Pas dan Bersatu) boleh bersama UMNO dan tiada keperluan penjajaran politik yang lain.

“Apatah lagi jika ia berlaku dengan mendadak dan merisikokan pertalian dan sokongan yang telah dibina, dikhuatiri kesannya bukan hanya di sesebuah negeri atau kawasan tetapi di seluruh negara,” kata Shahril Sufian melahirkan kebimbangan.

Media sebelum ini melaporkan DAP sedia bekerjasama dengan UMNO untuk membentuk kerajaan baharu yang lebih stabil di Perak.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, pihaknya sudahpun bersedia dan terbuka untuk mengadakan perbincangan yang membina mengenai usaha itu.

Kompenen PH juga mengeluarkan kenyataan kesudian bekerjasama dengan UMNO> Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Datuk Asmuni Awi pula berkata, tiada masalah untuk mereka bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk UMNO sekiranya usaha itu boleh membentuk kerajaan yang stabil di Perak.

Dalam nada sama, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak turut menyatakan kesediaan parti itu bekerjasama dengan UMNO membentuk kerajaan baharu di Perak. SM

https://mykmu.net/2018/03/16/malaysian-malaysia-dr-mahathir-muhyiddin-bakul-sampahkan-prinsip/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker