Sarjan Norihan pulang sebagai perwira
ALOR SETAR: Anggota Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Sarjan Norihan Tari, 39, dibenarkan pulang dari Hospital Pulau Pinang, dan diiringi ke Kem Batalion 3, hari ini.
Pegawai Pemerintah Batalion 3, Superintendan Rosman Kasman, berkata Norihan dibenarkan keluar pada jam 9.30 pagi tadi.
Beliau berkata, dia kemudian dibawa pulang dengan diiringi pasukan Batalion 3 dari Pulau Pinang ke Bidor jam 12 tengahari tadi.
“Ketibaan Norihan disambut dengan baik dan layanan sebagai perwira negara.
“Keadaan kesihatannya semakin baik dan beliau akan berehat sementara sembuh sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam kejadian 24 November lalu jam 3.10 pagi, Sarjan Norihan Tari dan rakannya, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, berbalas tembakan ketika bertempur dengan penyeludup berhampiran pos TS9 Padang Besar, Perlis.
Baharuddin terkorban dalam insiden itu selepas ditembak di bahagian perut, manakala Norihan yang turut terkena tembakan sempat berlari sejauh 1.5 kilometer (km) untuk mendapatkan bantuan di pos TS9 sebelum dihantar ke hospital.