Mesin kod rahsia Nazi Enigma ditemui di dasar Laut Baltik

BERLIN: Sekumpulan penyelam Jerman menemukan mesin pemecah kod rahsia Enigma milik Nazi di dasar Laut Baltik.

Mesin itu digunakan tentera Nazi untuk menghantar mesej berkod ketika Perang Dunia Kedua.

Penemuan unik itu diserahkan kepada muzium untuk dibaik pulih, Jumaat lalu.

Mesen kod legenda itu ditemukan bulan lalu ketika penyelam berkenaan mencari pukat terbiar di Teluk Gelting di timur laut Jerman

Penyelam itu asalnya dalam misi kumpulan alam sekitar, WWF.

Ketua penyelam, Florian Huber, berkata salah seorang penyelam naik ke permukaan dan memberitahu ada pukat dengan mesin taip lama.

Kumpulan itu bagaimanapun menyedari mereka sebenarnya menemukan artifak sejarah dan memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Jabatan Arkeologi Schleswig-Holstein, Ulf Ickerodt, berkata mesin itu akan dipulihara pakar daripada muzium arkeologi.

Proses pemuliharaan itu termasuk penyahgaraman kerana ia sudah berada di dasar Laut Baltik selama tujuh dekad, sekali gus dijangka mengambil masa setahun.

Selepas selesai, Enigma akan dipamerkan di muzium berkenaan.

Dalam perkembangan sama, sejarawan tentera laut daripada Persatuan Tentera Laut Jerman, Jann Witt memberitahu agensi berita DPA bahawa beliau percaya mesin yang memiliki tiga rotor atau dinamo itu, dibuang daripada kapal perang Jerman pada hari-hari terakhir perang.

Bagaimanapun, ia agak mustahil dibuang dibuang daripada kapal selam U-boat milik Adolf Hitler yang menggunakan mesin empat rotor yang lebih kompleks.

Kuasa Berikat bertungkus-lumus untuk memecahkan kod yang dihasilkan mesin Enigma Jerman itu yang berubah setiap 24 jam.

Ahli Matematik British, Alan Turing, yang dianggap bapa komputer moden, mengetuai pasukan di Bletchley Park, Britain yang memecahkan kod itu pada 1941.

Kejayaan itu membantu Kuasa Berikat untuk menterjemah mesej radio penting mengenai pergerakan tentera Jerman.

Sejarawan percaya kejayaan itu memendekkan tempoh perang sebanyak dua tahun.

Kisah itu diadaptasi kepada filem pada 2014 dengan judul The Imitation Game yang menampilkan pelakon British yang juga calon Anugerah Oscar, Benedict Cumberbatch yang membawa watak Turing. – AFP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker