Sudah tiba masa Anwar Ibrahim beri peluang kepada pemimpin muda



Ramai yang melihat kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalin kerjasama dengan pihak lain untuk mendapatkan mandat menggantikan kerajaan sedia ada.

Fellow Penyelidik Ilham Centre, Prof Dr Hamidin Abd Hamid berpendapat, kegagalan itu membuatkan ada yang berpandangan sudah tiba masanya Anwar memberi peluang kepada pemimpin muda.

“Tapi yang nyata ketika ini, kita melihat dalam konteks Pakatan Harapan walaupun selepas ditinggalkan oleh Tun Dr Mahathir, seorang lagi pemimpin lama dalam politik, kita melihat Pakatan Harapan berdepan dengan persoalan kepimpinan.

“Anwar Ibrahim dikatakan gagal menjalinkan kerjasama mendapatkan mandat bukan saja di kalangan Pakatan Harapan tetapi juga di kalangan mereka yang ingin bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

“(Justeru) Anwar Ibrahim seharusnya mula membuka langkah, membuka pintu untuk membenarkan kepada golongan lebih muda untuk menggantikan beliau sebagai pemimpin Pakatan Harapan.




“Tetapi saya melihat tidak semudah itu dalam konteks perubahan kepimpinan dalam political party di Malaysia,” katanya kepada Astro AWANI.

Bagi Ketua Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, bukan hanya Anwar yang perlu berundur tetapi sudah tiba semua pemimpin lama memberi peluang kepada anak muda.

Namun Hisomuddin menegaskan pemimpin-pemimpin muda juga membuktikan ketokohan mereka sendiri tanpa dibayangi tokoh-tokoh lama.

“Bagi memahami situasi politik yang akan datang, saya menjangkakan bahawa ini memerlukan satu pembaharuan dalam penampilan dan strategi politik.

“Pemimpin lama perlu berkorban untuk memberi laluan kepada ketokohan anak muda bagi mewarisi atau memimpin, mengambil baton ini untuk memacu lebih jauh ke depan.




“Laluan ini perlu diberi sepenuhnya tidak perlu dibayangi lagi atau perlu mereka ragu-ragu dengan kekuatan ini tetapi pemimpin anak muda juga perlu berani untuk mencipta dan membina ketokohan mereka sendiri,” katanya lagi.

Sejak beberapa tahun lepas isu menggantikan pemimpin lama dalam semua parti politik telah diperkatakan namun sehingga kini tidak ramai generasi pelapis yang diketengahkan.

Pandangan kedua-dua penganalisis ini seiring dengan pendapat yang turut disuarakan bekas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin menyarankan agar peluang diberikan kepada pemimpin muda mengambil alih secara teratur dan terancang demi menjamin kesinambungan pemerintahan negara.

Tokoh Wartawan Nasional itu berkata, sudah tiba masanya untuk kepimpinan politik yang ada sekarang diganti.

Pada Khamis juga, wakil rakyat DAP, Datuk Teng Chang Khim mengumumkan akan bersara dan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang.




Chang Khim yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Baru Klang dan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor mengumumkan persaraannya itu selepas 25 tahun menjadi wakil rakyat. Awani

Peluang masih ada, kata Anwar



Leave a Reply

Your email address will not be published.