Tidak mungkin PPBM-Umno bergabung dalam masa terdekat, kata penganalisis

zahid muhyi

PETALING JAYA: Dua penganalisis politik menolak kemungkinan PPBM diserap semula ke dalam Umno dalam masa terdekat.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania dan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan memberitahu FMT bahawa faktor penghalang utama terhadap gabungan itu ialah persaingan jawatan parti.

Mereka mengulas gesaan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki supaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan ahli PPBM kembali kepada Umno untuk menyatukan orang Melayu.

Chin berkata, gabungan itu mungkin berlaku jika Umno bersedia memberikan jawatan presiden parti kepada Muhyiddin.

 

 

 

James Chin.

 

“Namun pada masa ini ia tidak bersedia berbuat demikian,” tambahnya.

Beliau bersetuju dengan Asyraf bahawa tidak wujud perbezaan ideologi antara dua parti, tetapi berkata, persoalan praktikal berhubung jawatan parti penting bagi kedua-dua pihak, sekali gus akan menghalang daripada berlakunya gabungan dalam masa terdekat.

“Jika mereka bergabung, siapakah yang akan menjadi presiden parti atau timbalan presiden? Bagaimana pula dengan ketua bahagian?”, katanya.

Azmi Hassan.

Azmi berkata, PPBM tidak mempunyai sebab untuk bergabung dengan Umno kerana ahlinya “agak selesa” dengan kedudukan sedia ada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin di kerusi pemandu.

“Kenapa kembali kepada Umno dan berdepan persaingan dengan mereka yang memilih untuk kekal dalam parti itu?”, soalnya.

Beliau juga berkata, label “pengkhianat” akan melekat pada Muhyiddin dan pengikut beliau jika mereka memilih untuk kembali kepada Umno.

Bagaimanapun katanya, orang Melayu beruntung jika gabungan itu berlaku kerana mereka mendapat parti yang kuat untuk diberi sokongan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Ia akan menyatukan orang Melayu,” katanya.

Chin berkata, orang Melayu sebelum ini menunjukkan bahawa mereka mampu bersatu jika berdepan dengan musuh atau ancaman bersama daripada orang bukan-Melayu.

“Kini orang Melayu ada kerajaan dan tiga parti Melayu-Islam,” katanya.

“Mereka tidak berasa diancam oleh orang bukan-Melayu. Oleh sebab itu mereka berbalah sesama sendiri.”

Asyraf membuat gesaan itu di dalam kolumnya di akhbar Sinar Harian semalam.

“Sejarah membuktikan bahawa beberapa parti serpihan yang terpecah daripada Umno kembali semula kepada parti terbesar orang Melayu itu,” katanya merujuk kepada Parti Kemerdekaan Malaya, Parti Negara dan Parti Melayu Semangat 46.

Anggota Majlis Tertinggi PPBM Muhammad Faiz Na’aman menolak kemungkinan partinya mengikut jejak itu dengan mendakwa orang Melayu mahu mempunyai pilihan yang terbuka.

“Tiada keperluan bagi mana-mana parti Melayu-Islam di negara ini, termasuk PPBM, untuk bergabung dengan Umno dan berada di bawah hanya seorang pemimpin parti yang berkuasa,” katanya kepada FMT.

Zahid beri bayangan PRU15 dalam masa terdekat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker