Sungai tercemar: Tauke kilang, penternak ladang babi kebal undang-undang?



Sebaran :

Isu pencemaran sungai yang tidak berkesudahan menimbulkan persoalan sama ada ‘tauke-tauke’ kilang atau penternakan ladang babi kebal dengan undang-undang.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya tidak menolak kemungkinan wakil rakyat tidak prihatin berhubung isu ini, atas sebab kepentingan politik.

Katanya, isu pencemaran sungai disebabkan ‘tauke-tauke’ sama ada kilang atau penternakan memang sudah banyak berlaku di Malaysia dan seolah-olah kebal, sebagaimana yang diperkatakan Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Dr Mohd Zuhdi Marsuki.



“Sama juga dengan kegiatan-kegiatan haram yang lain. Apakah kekebalan ini berpunca dari rasuah dan salah guna kuasa? Saya yakin terlalu banyak kegiatan sebegini yang berlaku di negara kita.

“Cumanya apakah ianya dilaporkan oleh media atau tidak sahaja. Dan semua ini boleh dipengaruhi jika masyarakat setempat bangkit menyuarakannya. Kami berbesar hati untuk membantu mengangkat suara anda.

“Saya faham bahawa ada ramai wakil rakyat – ADUN atau Ahli Parlimen – yang tidak prihatin pun dalam isu sebegini mungkin atas sebab kepentingan politik. Bak kata orang, sekarang ini ‘rakyat jaga rakyat’,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Menerusi kenyataan sama, beliau turut mengulas mengenai aduan diterima Dr Zuhdi berhubung pencemaran sungai susulan penternakan ladang babi di Bidor, Perak.

Terdahulu, Dr Zuhdi berkata, kampung sekitar sungai itu didiami oleh kaum Melayu yang sememangnya begitu jijik dengan najis yang dilepaskan dari ladang babi tersebut.

“Seperti mana lazim, kumbahan dari ladang ternakan babi ini akan menyebabkan pencemaran sungai yang sangat serius sehingga sungai tersebut akan dikategorikan sebagai sungai mati,” katanya.



Apabila dikaji lanjut, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, isu penternakan babi di Bidor sudah dibangkitkan pada September lepas di mana tularnya gambar sungai menjadi kehitaman yang didakwa dicemar oleh kumbahan penternakan babi.

“BERNAMA telah melaporkan bahawa perkara ini berlaku di Sungai Kuala Gepai, Bidor.

“Saya tidak pasti apakah ini sungai yang sama yang diperkatakan oleh Dr Zuhdi Marsuki. Jika ianya sungai yang sama, maka kita perlu persoalkan apa tindakan pihak berkuasa kerana sudah berbulan-bulan perkara ini tidak selesai.



“Jika ianya bukan sungai yang sama, maka kita boleh persoalkan apakah memang penternak-penternak babi di Perak melepaskan kumbahan di sungai-sungai?,” soalnya.


Sebaran :


Leave a Reply