India kurangkan duti import sawit – Hishammuddin
Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakan sejawatnya dari India, Subrahmanyam Jaishankar ekoran keputusan kerajaan negara itu mengurangkan duti import terhadap minyak sawit mentah.
Menteri Luar itu berkata, kerajaan India telah mengurangkan duti import ke atas bahan mentah itu sebanyak 27.5 peratus daripada 37.5 peratus.
“Insya Allah, keputusan ini dijangka menambah jumlah eksport minyak sawit ke India, sekali gus berupaya meningkatkan lagi harga minyak sawit mentah di negara kita.
“Wisma Putra akan terus usaha yang terbaik demi kepentingan lebih 500,000 pekebun kecil sawit di Malaysia, ahli keluarga serta komuniti setempat! Insya Allah,” tulis beliau menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Ahli Parlimen Sembrong menerusi laman sosial berkenaan berkongsi kisah mengenai rakan Facebook dan beberapa kenalannya yang bercerita tentang harga buah tandan segar (BTS) dan minyak sawit mentah (MSM) yang berada pada paras tinggi.
Katanya, harga BTS dan MSM meningkat sejak kebelakangan ini dan ia akan memanfaatkan lebih 500,000 pekebun kecil sawit, keluarga mereka serta komuniti tempatan khususnya di era pandemik yang serba mencabar ini.
Menurut Hishammuddin, Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sendiri menyatakan, antara faktor peningkatan itu adalah disebabkan permintaan tinggi daripada pembeli termasuklah China dan India.
“Ini selari dengan hasil pertemuan saya dengan Menteri Luar China, Wang Yi pada awal Oktober yang membawa kepada persetujuan China untuk beli 1.7 juta tan minyak sawit Malaysia sehingga tahun 2023.
“Ini juga sejajar dengan kenyataan saya sebelum ini bahawa Wisma Putra akan manfaatkan hubungan dengan India yang kembali pulih untuk tingkat eksport minyak sawit ke sana.
“Insya Allah, saya akan pastikan Wisma Putra terus bantu kementerian berkaitan demi memperkukuh industri sawit negara,” ujarnya. MG
Pengilang India henti beli minyak sawit Malaysia, bimbang duti naik
You must be logged in to post a comment.