Lelaki ditetak dengan parang dalam pasar mini di Teluk Intan

Terkini di My KMU !!!!---->

Seorang lelaki cedera parah selepas diserang dan ditetak dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah pasar mini di Jalan Kampung Banjar dekat sini, semalam.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa berusia 46 tahun itu datang ke premis tersebut untuk membeli barang pada jam 8.30 pagi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Anuar Othman, selesai membuat bayaran, mangsa yang keluar dari premis mendapati sebuah kereta jenis Honda City berwarna kelabu berhenti berdekatan dengannya.

Katanya, dua lelaki yang memakai pakaian berwarna gelap berserta topeng keluar daripada kereta itu sambil masing-masing membawa sebilah parang berukuran 0.6 meter.

“Mangsa berlari masuk ke dalam kedai namun dikejar kedua-dua suspek itu sehingga terjatuh, sebelum mereka menetak mangsa di tangan dan kakinya dengan parang beberapa kali.

“Dua lelaki itu kemudian melarikan diri dengan Honda City yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi, mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk rawatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Anuar berkata hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami luka kesan tetakan senjata tajam di lengan dan peha kanan selain siku dan lutut kiri.

“Selain itu, hasil pemeriksaan menerusi ujian X-ray mendapati mangsa patah tulang siku kiri, tulang pengumpil lengan kiri dan kanan serta tulang peha kanan,” katanya.

Ujarnya polis turut melakukan pemeriksaan di lokasi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Komisioner Kamarudin Mat Salleh berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek kejadian itu bagi membantu siasatan.

Terdahulu rakaman CCTV yang menunjukkan mangsa berlari masuk ke dalam kedai sambil dikejar dua lelaki yang memakai penutup muka dengan membawa senjata tular di media sosial. Awani

Ketua Wanita Teluk Intan ditumbuk, Amanah serah kepada polis

Leave a Reply