Generasi saya dah tamat, masa untuk pemimpin muda tetapi… – Tun Mahathir
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui generasi pemimpin yang seangkatan beliau sudah tamat, dan legasi pemerintahan perlu diteruskan oleh generasi muda.
Namun Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan, tidak semestinya pemimpin muda politik hanya perlu menumpukan usaha meraih sokongan daripada golongan sebaya mereka, dan terus mengabaikan generasi terdahulu.
Jelasnya lagi, walaupun di peringkat global, ramai pemimpin muda telah diangkat menjadi ketua kerajaan seperti di New Zealand, Canada, dan Perancis, ia tidak bermaksud keadaan itu boleh ditiru sepenuhnya.
“Orang muda memang lebih sedar berkenaan pertukaran ini, kerana mereka hidup dalam satu suasana yang berlainan. Namun demikian, kita tak boleh ketepikan sama sekali apa yang berlaku dahulu.
“Apa yang berlaku dahulu mempunyai pengaruh kepada apa yang berlaku sekarang, dan masa depan. Jadi kita kena ambil kira semua faktor dalam menentukan pembangunan negara umpamanya.
Kita tak boleh nak ikut cuma generasi muda sahaja, (semata-mata) kerana generasi muda lebih terdedah kepada iklim yang meluas,” katanya lagi dalam program khas Eksklusif Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad terbitan Astro AWANI pada Rabu malam.
Dr Mahathir, yang memimpin negara selama 22 tahun 22 bulan berkata, pemimpin muda harus bersikap inklusif, iaitu mengambil kira kesemua faktor sebelum membuat sebarang dasar atau keputusan.
Ujarnya lagi, tidak salah untuk mengguna pakai corak pemikiran Barat, tetapi ia harus dilakukan dengan berhati-hati, tanpa mengabaikan acuan masyarakat di negara ini.
“Kita tidak boleh ketepikan sama sekali generasi yang tua yang mempunyai pengalaman Jadi kita boleh tiru atau ambil cara-cara Barat ini tetapi janganlah eksklusif, kita seolah-olah menjadi pengikut Barat.
“Kerana kita harus ingat apabila kita capai kemerdekaan, kita pisahkan diri kita daripada Barat kerana kita dapati moral mereka runtuh. Sekarang ni lebih dasyat lagi. Tetapi kita terbawa bawa cara mereka sehingga tak kira soal baik atau buruk,” ulasnya lagi.
You must be logged in to post a comment.