Mahathir, Pejuang muktamad tolak Belanjawan 2021 esok

PENGERUSI parti Pejuang Tun Dr. Mahathir Mohamad muktamat bahawa ahli-ahli Parlimen parti itu yang seramai tiga orang akan menolak Belanjawan 2021 dalam undian esok.

Dr. Mahathir berkata, keputusan tersebut diambil dengan penuh tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat.

“Saya dan rakan-rakan mengambil ketetapan menolak Belanjawan 2021 dan kami lakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah yang kami pegang bagi pihak rakyat sehingga penggal perkhidmatan kami sebagai wakil rakyat tamat,” kata Dr. Mahathir dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Jelas Dr. Mahathir, penolakan Belanjawan 2021 itu itu dibuat setelah kecewa dengan perbahasan Belanjawan yang berjalan selama beberapa hari sebelum ini.



Menurutnya, selain dari perbahasan yang terhad, tidak ada sebarang tanda pihak Kerajaan mendengar atau menerima pandangan yang telah diajukan oleh ahli-ahli Parlimen.

Dr. Mahathir berkata, kerajaan turut tidak mendengar kritikan rakyat melalui rintihan mereka di media sosial.

“Sebaliknya, pihak Kerajaan bertindak mengugut ahli-ahli Parlimen dengan naratif bahawa jika Belanjawan 2021 tertolak maka gaji, elaun dan pencen penjawat awam dan “frontliners” tidak dapat dibayar.

“Selain itu, ugutan juga menjurus kepada cubaan menimbul rasa kurang senang dikalangan rakyat bahawa jika Belanjawan tidak lulus maka bantuan-bantuan kewangan tidak akan sampai kepada rakyat yang amat memerlukannya pada ketika ini,” katanya.



Pejuang juga tidak berasa senang dengan isu kuarantin ahli Parlimen dari Sabah yang menyokong Kerajaan mendapat layanan “double-standard”.

Katanya, tiba-tiba sahaja kuarantin 14 hari yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan kepada mereka yang terlibat di dalam pergerakan dari Sabah ke Semenanjung dan Sarawak tidak lagi menjadi satu ketetapan.

“Kerana apa dasar atau ketetapan ini tidak berkuat-kuasa? Ia kerana undi ahli-ahli Parlimen ini perlu kepada Kerajaan untuk meluluskan Belanjawan. Setiap perlakuan dan pertukaran dasar dan ketetapan dibuat seperti menukar pakaian semata-mata untuk kepentingan politik.

“Yang menjadi mangsa ialah rakyat. Apabila rakyat tidak mengikut peraturan atau ketetapan itu, mereka didenda dan dihukum. Jika ahli Parlimen dipihak Kerajaan melakukannya, peraturan ditukar dan mereka bebas dari sebarang hukuman,” kata Dr. Mahathir.



Menurutnya, jika Belanjawan 2021 esok tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen maka ia menjadi bukti bahawa Perikatan Nasional telah hilang kelayanan sebagai kerajaan.

Dr. Mahathir berkata, jika Perdana Menteri seorang yang bermaruah ia akan meletak jawatan.

Seterusnya, jika di dalam suasana biasa, Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen. Bagaimanapun pilihanraya umum bukan satu pilihan ketika negara dilanda Covid-19.

“Kerana itu, proses yang mungkin boleh dipertimbang ialah memberi peluang kepada Parlimen untuk menentu siapakah di kalangan ahli-ahli Parlimen yang ada yang mempunyai sokongan majoriti.



“Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa ahli Parlimen tersebut mempunyai sokongan majoriti, maka dia boleh dipilih untuk menjadi Perdana Menteri untuk menubuh Kerajaan yang baru dan berkhidmat sehingga tamat penggal pemerintahan dan tiba masa untuk pilihanraya umum ke-15 diadakan,” kata Dr. Mahathir.

Katanya, setelah Kerajaan baharu ditubuh maka Kerajaan tersebut boleh memilih untuk membentangkan Belanjawan yang baru ataupun mengambil Belanjawan yang telah ditolak dan dilakukan pindaan-pindaan yang telah diminta dahulu.

“Semua ini dapat dilakukan di dalam sidang Parlimen khas dan tidak akan mengambil masa yang begitu lama,” jelas Dr. Mahathir. SM

Ikut arahan parti, bukan ketetapan sendiri, Annuar Musa tegur Ku Li



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker