Projek 'gila-gila' Faizal, Elly dan Zizi · MYKMU.NET

Projek ‘gila-gila’ Faizal, Elly dan Zizi

Share

Lagu 4 Dara menjadi tular selepas penyanyi, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein mendendangkannya secara berjenaka menerusi drama Kampung People 2.

Aksi dan gelagat Elly menerusi babak Minah Selamat dalam Kampung People 2 menerusi episod 6 dan meminta nyanyiannya disambung nyata mempopularkan semula lagu dendangan asal Ahmad Yusoh itu.

Ramai peminat termasuk golongan selebriti menyahut cabaran Elly menyambung nyanyiannya dan memuat naik dalam media sosial, sekali gus lagu 4 Dara menjadi siulan ramai.

Lagu ciptaan Atan Penambang dan Ahmad Yusoh serta lirik Ahmad Yusoh itu pernah dirakamkan Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Noraniza Idris, Datuk Sharifah Aini, S Roziah dan Fadzil Ahmad.


Terbaharu, penyanyi dan komposer, Faizal Tahir bakal berkolaborasi dengan Elly dan Zizi Kirana dalam memberi nafas baru pada karya berkenaan.

Zizi berkata, dia teruja apabila dipilih untuk berkolaborasi menerusi projek yang dicetuskan Faizal itu.

Calon Penyanyi Wanita Popular Xiaomi Malaysia, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 itu berkata, dia mendapat tawaran bekerjasama menerusi projek berkenaan, baru-baru ini.

“Sebelum projek lagu 4 Dara, saya pernah bekerjasama dengan Faizal yang juga penerbit untuk single lagu Tentu yang dilancarkan secara eksklusif oleh JOOX Malaysia.

“Tak sangka pula Faizal melayangkan tawaran untuk bekerjasama dengan Elly. Faizal memberitahu, kerjasama ini disifatkan sebagai projek ‘gila-gila’.

“Saya tak fikir dua kali untuk menerima tawaran ini. Kalau tolak, umpama menolak rezeki terpijak. Kita tahu Elly berjaya mempopularkan semula lagu 4 Dara menerusi drama Kampung People 2,” katanya kepada BH Online.

Zizi yang baru sahaja muncul dengan lagu selawat Qomarun atau Purnama bersama kumpulan nasyid UNIC berkata, dia dia mendendangkan bahagian tradisional dan rap.

“Jujurnya, saya tak sabar menanti hasilnya. Proses rakaman dan video muzik sudah siap dilakukan dan akan dilancarkan dalam masa terdekat,” katanya.


Mengulas pencalonan menerusi ABPBH 33, Zizi optimis dengan apa sahaja ketentuan dan keputusan.

“Saya bersaing dengan ramai penyanyi hebat menerusi kategori Penyanyi Wanita Popular Xiaomi Malaysia. Bagi saya, berada dalam top 20 pun sudah membuktikan perjuangan saya masih relevan.

“Menang atau kalah, adatlah bertanding. Tetapi, siapa tak mahu menang bukan?,” katanya yang akan mempersembahkan lagu 4 Dara menerusi satu acara mega, tidak lama lagi.

Zizi atau nama sebenarnya, Nur Fazelah Mad Tahil berkata, dia turut bertindak sebagai salah seorang komposer menerusi single Tentu.

“Lirik lagu ini mencerminkan pemerhatian dan pandangan saya mengenai situasi semasa seluruh dunia. Kita berdepan kegetiran berikutan pandemik COVID-19. Malah, saya juga kehilangan rakan karib, Sandra Dianne, beberapa bulan lalu

“Lagu ini juga cuba menzahirkan kesedihan dan perjuangan saya melalui detik sukar dalam kehidupan dan arena seni,” katanya. BH

Trending: Lawak Habis! Sherry Alhadad Buat Cabaran Empat Dara, “Siap Bunyi Cencurut!” [Video]

Leave a Reply