Pembelot PKR dilihat cenderung pertahan kerusi di Sarawak


Dua penganalisis politik meramalkan protes daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan mampu menghalang empat Ahli Parlimen PKR yang melompat parti daripada bertanding pada pilihan raya akan datang sebagai calon untuk kawasan yang sedang mereka wakili.

James Chin daripada Institut Asia University of Tasmania dan Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya berkata, keempat-empat Ahli Parlimen tersebut dilihat akan dipilih semula demi kepentingan Perikatan Nasional (PN).

Beberapa pemimpin GPS menentang penyertaan PN di Sarawak, tetapi Chin berkata, situasi boleh berubah dengan cepat dalam politik.

Dua daripada Ahli Parlimen yang melompat parti itu – Larry Sng (Julau) dan Jugah Muyang (Lubok Antu) – menang sebagai calon bebas pada pilihan raya lalu sebelum menyertai PKR. Mereka kini mengumumkan bahawa mereka calon bebas mesra PKR.



Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin dan Ahli Parlimen Saratok Ali Biju menang pada 2018 dengan tiket PKR tetapi kemudian menyertai PPBM.

“Suara-suara mengatakan mereka berempat tidak boleh bertanding di Sarawak tidak relevan apabila menyebut tentang kerusi Parlimen, terutamanya apabila mereka masih boleh menang.

“Tidak mungkin GPS dapat menghalang mereka,” kata Chin.

“Ada kemungkinan mereka akan bertanding menggunakan logo PN, bahkan logo GPS.”



Berkenaan presiden PRS, yang juga anggota GPS, Chin berkata: “Hanya kerana James Masing bersuara, itu tidak bermaksud parti-parti komponen GPS lain tidak akan menerima (Ahli Parlimen yang melompat parti). Tetapi tentu saja ini akan melibatkan sedikit rundingan.”

Awang Azman menjangkakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan cuba meyakinkan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg untuk menerima penyertaan PPBM dalam gabungan “GPS Plus”.

“Tidak mustahil Abang Johari akan menerima PPBM,” kata Awang Azman.

“Namun, beliau perlu berhati-hati dalam membuat keputusan. Beliau perlu mempertimbangkan sentimen akar umbi GPS.” FMT



Boleh simpan YB belot, tetapi kerusi PRU milik parti dahulu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker