MB Kedah sahkan exco negeri positif Covid-19

Share

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan seorang exco kerajaan negeri tersebut yang sebelum ini pernah ke Sabah semasa pilihan raya negeri itu, adalah positif Covid-19.

“Ya, (seorang exco disahkan positif),” kata Muhammad Sanusi ringkas melalui mesej WhatsApp.

Terdahulu, media melaporkan bahawa exco yang baru balik dari Kota Kinabalu itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut mulai semalam.

Laporan Bernama hari ini, juga memetik Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan seorang exco kerajaan negeri yang tidak dinamakan sebagai positif Covid-19.

Pengarahnya, Dr Mohd Fikri Ujang berkata exco itu sudah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut mulai semalam.

“Jabatan Kesihatan sedang mengesan kontak rapat exco berkenaan termasuk anggota keluarganya dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Setakat ini, hanya exco berkenaan sahaja yang disahkan positif wabak itu dan tiada exco lain yang dijangkiti,” katanya.

Difahamkan exco itu juga adalah kontak rapat kepada pembantunya yang turut disahkan positif Covid-19 kelmarin.

Sumber terdekat pejabat menteri besar juga memberitahu Malaysiakini bahawa kerajaan negeri akan membuat satu kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

Untuk rekod, Kedah hari ini mencatatkan 98 kes baru Covid-19 melibatkan 45 warganegara dan 53 bukan warganegara.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terdapat satu kluster baru dikenali sebagai kluster Bah Ketil dikesan di Kedah.

Selain itu kluster Tembok di negeri itu turut mencatatkan 88 kes baru melibatkan 35 warganegara.

 

Exco Pas dipecat malam ini?

 

 

Leave a Reply