ATM bersiap sedia hadapi warga asing ganggu PRN Sabah

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Affendi Buang berkata, mereka sentiasa bersiap sedia dalam apa jua situasi dan ancaman susulan laporan kemasukan besar-besaran pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sabah untuk mencetuskan kekacauan pada Pilihan Raya Negeri.

Ia menyusul kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali yang berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai ancaman oleh warga asing dari negara jiran.

“Sempena PRN Sabah, kita dapat maklumat yang mengatakan akan berlaku kemasukan besar-besaran pendatang dari negara jiran ke Sabah membuat kekacauan.

“Ini kita kena halang supaya pilihan raya berjalan lancar dan tidak mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan kita terjamin,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu semalam.



Dalam satu kenyataan, Affendi berkata, Op Benteng Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF), yang diketuai pasukan tentera, akan memastikan kawalan sempadan maritim dan daratan negara terus diperkukuhkan.

“Dengan penglibatan dan kerjasama padu anggota serta aset-aset dari semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan, ia diaturgerakkan secara terancang, terutama dalam memberi tumpuan kepada aspek kawalan, keselamatan dan kesejahteraan di Sabah bagi melancarkan proses PRN.”

Beliau meminta orang ramai menjadi “mata dan telinga” pasukan keselamatan kerana kedaulatan negara merupakan tanggungjawab bersama.

Katanya, orang ramai terutamanya di Sabah digalakkan menyalur sebarang maklumat pencerobohan PATI atau aktiviti jenayah rentas sempadan kepada Pusat Operasi NTF di talian 011-6251 1223.



Sabah akan mengundi pada 26 Sept ini. Pengundian awal untuk anggota polis dan tentera bermula hari ini. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker