Chong Wei ‘curi-curi pinjam’ raket bapa

BEKAS jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak dapat melupakan peristiwa dimarahi oleh bapanya, Lee Ah Chai sehingga hendak terkencing di dalam seluar hanya kerana meminjam raket tanpa memberitahu bapanya.

Jelas pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu, kejadian berkenaan berlaku pada 1995 ketika usianya 13 tahun.

“Masih teringat pada 1995, saya hanyalah seorang budak berusia 13 tahun. Masih jambu, masih mentah, masih kiut.



“Saya bertuah kerana layak ke saingan MSSPP (Majlis Sukan Sekolah Pulau Pinang). Bapa saya belikan raket yang bagus untuk kejohanan itu. Tapi saya berasakan raket bapa lebih baik.

“Raketnya adalah Yonex Carbonex9 berwarna emas. Saya curi-curi pinjam raket miliknya untuk kejohanan itu tanpa dia mengetahuinya,” katanya menerusi status di Facebook miliknya.

Chong Wei berkata, rasa terujanya menggunakan raket itu sehingga talinya terputus dan dia memulangkan semula secara senyap-senyap raket itu di dalam beg bapanya selepas tamat kejohanan.

“Keesokan harinya saya terdengar bapa menjerit ‘Ah Wei! Apa yang awak sudah lakukan?’ Saya rasa takut sehingga hendak terkencing di dalam seluar.

“Perlahan-lahan saya ke biliknya dengan kepala tunduk ke bawah. Bayangkan muka marahnya macam ‘Incredible Hulk’ sambil menghayun raket dengan tali putus.



“Sebelum Hulk ketuk kepala saya, saya hulurkan medal yang dimenangi di kejohanan itu. Daripada perasaan marah dia tersenyum.

“Petang itu dia meletakkan raket miliknya senyap-senyap ke beg saya. Ia adalah ‘pedang’ pertama saya iaitu Yonex Carbonex9,” katanya.-HM



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker