Zambry jadi moderator, tolong baca doa

Share

TANJUNG MALIM – Kerana tidak mempunyai permit untuk berceramah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir terpaksa menjadi moderator Majlis Taqarrub di Dataran Felda Gunung Besout 4 di sini malam tadi.

Zambry hadir bersama-sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada majlis tersebut bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz.

Pada awal majlis tersebut, Zambry turut menawarkan diri sebagai pembaca doa selepas individu yang dipanggil untuk membaca doa pada majlis tersebut tidak memunculkan diri.


Pengacara majlis kemudiannya menjemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor itu menyampaikan ucapan, namun beliau enggan berbuat demikian kerana tidak mempunyai permit untuk menyampaikan ceramah.

Mohamad yang kemudiannya dijemput menyampaikan ucapan bangun memperkenalkan Zambry sebagai moderator ceramah pada malam tersebut.

“Saya jemput adinda saya Dr Zambry sebagai moderator malam ini (malam tadi). Dia tak boleh ceramah sebab tak ada permit. Jadi moderator boleh,” katanya.


Zambry kemudiannya memperkenalkan Mohamad dan bercerita tentang latar belakang bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu sebelum dijemput menyampaikan ceramah di hadapan penduduk dan penyokong BN.

Dalam majlis tersebut, dijadualkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan perlu menyampaikan ceramah sebelum Mohamad namun beliau terlewat.

Bagaimanapun, sejurus tiba kira-kira jam 11 malam, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian juga tidak boleh menyampaikan ceramah kerana tidak mendapat permit.


Zambry kemudiannya meminta Ahmad memberikan kata aluan diikuti tiga rangkap pantun sambil disambut tawa orang ramai yang hadir.

Leave a Reply