Kerajaan akan bentang RUU IPCC ganti IPCMC, kata menteri

Share

Kerajaan akan membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Polis (IPCC) di Dewan Rakyat bagi menggantikan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang ditangguhkan tahun lepas, kata Hamzah Zainuddin.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, ia dijangka dibentang pada 26 Ogos ini dengan beberapa penambahbaikan daripada cadangan penubuhan IPCMC sebelum ini.

“Minggu depan kita akan bentangkan IPCC yang baru untuk mendapatkan kelulusan daripada Parlimen untuk tubuhkan suruhanjaya yang baru.


“InsyAllah ada penambahbaikan yang akan diadakan supaya kita boleh ambil tindakan yang tegas terhadap anggota polis yang menyalahgunakan kuasa.

“Minggu depan 26 Ogos saya akan bentang IPCC,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau juga berkata, cadangan penubuhan IPCMC sebelum ini diletakkan di bawah kendalian menteri undang-undang, tetapi sekarang dipindahkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN).


“Dulu IPCMC, kita tarik balik IPCMC dan kita akan masukkan IPCC. Berbeza sikit, dulu di bawah menteri undang-undang, sekarang terus bawah saya, KDN,” katanya.

Kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) bercadang menubuhkan IPCMC bagi mengurus isu berkaitan salah guna kuasa oleh anggota polis.

Penubuhannya bertujuan membolekan siasatan bebas dijalankan ke atas aduan melibatkan pasukan itu.


Bagaimanapun cadangan itu menimbulkan kontroversi apabila ia dibantah oleh beberapa pihak berkaitan keselamatan.

IPCMC dicadangkan bagi menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan berperanan menjalankan siasatan berhubung salah laku polis.

Bagaimanapun bacaan kali kedua dan ketiga RUU IPCMC di Dewan Rakyat ditangguhkan untuk diperhalusi oleh kerajaan sebelum ini.

Pada 7 Oktober tahun lalu, Dewan Rakyat menetapkan supaya RUU IPCMC 2019 dirujukkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memperincikan lagi kandungannya, termasuk beberapa pindaan yang dicadangkan bagi tujuan penambahbaikan. FMT

Leave a Reply