Segera laksana moratorium automatik, Puad beritahu Putrajaya

Ahli majlis kerja tertinggi Umno Puad Zarkashi mendesak Putrajaya segera melaksanakan moratorium automatik hingga akhir tahun ini berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan 3.0 di saat akhir.

Bagaimanapun, katanya, pihak bank boleh mengecualikan syarikat besar dan jutawan dalam moratorium automatik kali ini.

“Jika tidak ada moratorium automatik, rakyat yang terjejas teruk akan berhadapan kerenah birokrasi bila berurusan sendiri dengan pihak bank,” katanya dalam catatan di Facebook.

Puad berkata, bank di negara ini juga masih mencatatkan keuntungan besar walaupun dalam tempoh PKP.

“Ada yang baru menghidupkan semula perniagaan tetapi mengalami kerugian kerana pelaksanaan PKP 3.0 di saat terakhir,” katanya.

Beliau berkata, sejak Parlimen digantung rakyat yang terjejas tiada saluran untuk meluahkan kesusahan yang dialami supaya nasib mereka terbela.

“Mereka kini hanya ada media sosial. Kalau bakar suar dan naikkan kain rentang “kerajaan gagal” mereka mungkin ditangkap,” katanya.

Pada Khamis lalu, rakaman video tunjuk perasaan di Parit Raja dekat Batu Pahat, Johor, tular di media sosial dengan sekumpulan anak muda dilihat mengadakan rusuhan, membakar suar dan menaikkan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’.

Polis menahan 20 individu berhubung kejadian berkenaan.-FMT

PKP3.0: Pemuda UMNO desak pemberian moratorium

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker