China basmi kuman, tukar wang baru untuk halang penularan Covid-19

Bank di China membasmi kuman dan mengasingkan wang kertas sudah digunakan, dalam usaha menghalang penularan wabak Covid-19 yang meragut nyawa lebih 1,500 orang, kata pegawai pada Sabtu.

Bank Negara China dalam sidang media hari ini berkata, lampu ultraungu atau suhu tinggi digunakan untuk membasmi kuman pada wang kertas yuan, ia kemudian dibalut dan disimpan selama 7 hingga 14 hari – bergantung kepada tahap keseriusan penularan Covid-19 di sesebuah wilayah itu – sebelum diedarkan semula kepada orang ramai.

Timbalan Gabenor Bank Negara China, Fan Yifei dipetik AFP menggesa bank menyediakan wang kertas baru kepada pelanggan berdasarkan kemampuan mereka.



Katanya, bank pusat itu melakukan “pengeluaran kecemasan” wang kertas baru sebanyak 4 bilion yuan ke wilayah Hubei yang paling teruk terjejas akibat Covid-19, sebelum sambutan Tahun Baru Cina pada akhir bulan lalu.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan “memastikan keselamatan dan kesihatan orang ramai ketika menggunakan wang tunai”.

Tidak jelas impak ke atas usaha pembasmian kuman pada wang kertas itu kerana rakyat China kini lebih gemar menggunakan pembayaran elektronik berbanding wang tunai, sejak beberapa tahun ini.

Pada 2017, hampir 3/4 daripada responden di China memberitahu satu kajian Ipsos yang mereka boleh hidup sebulan tanpa menggunakan wang tunai lebih 100 yuan.



Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata, virus Covid-19 boleh disebarkan melalui objek tercemar, selain titisan dan kontak langsung dengan pesakit dijangkiti virus itu.

Terdahulu, Suruhanjaya Kesihatan Nasional melaporkan 143 kematian baru pada Sabtu, semuanya di Hubei kecuali 4 kes, menjadikan keseluruhan 1,523 kematian setakat ini.

Ia turut melaporkan 2,641 kes jangkitan baru, dengan kebanyakannya di Hubei, menyebabkan semuanya 66,492 kes sehingga ini.

Angka itu hampir separuh daripada kes yang dilaporkan sehari sebelumnya.



Semalam, pihak berkuasa berkata 1,716 kakitangan perubatan jatuh sakit ketika penularan wabak itu dengan 6 daripadanya meninggal dunia akibat wabak berkenaan.

Kebanyakan jangkitan dalam kalangan kakitangan perubatan berlaku di Wuhan, ibu wilayah Hubei kerana kekurangan topeng hidung dan mulut serta peralatan melindungi diri di hospital yang dipenuhi pesakit.

FMT

PH terkena ‘kuman’ DAP, asingkan soal agama dan pentadbiran



 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker