Janji Manifesto PH: Segera Tubuh RCI Siasat Tabung Haji – Asyraf

Pemuda UMNO hari ini mendesak agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Kerajaan PH segara mengotakan janji untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara total Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung pelbagai dakwaan salah laku dan penyelewengan yang berlaku di zaman pengurusan TH terdahulu.

Menurut Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi kenyataan di Facebook, selepas 18 bulan PH memerintah, tiada satu pun tangkapan, pendakwaan hatta laporan rasmi dikeluarkan oleh Kerajaan untuk menerangkan kepada rakyat mengenai kononnya wujud skandal salah laku di TH walhal ia adalah antara 10 Janji Utama Manifesto Buku Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Kekanda YB Menteri pernah mendakwa defisit RM4.1 bilion yang dialami TH sebelum ini tidak mewajarkan pengagihan Hibah kepada pendepositor. Maka rakyat perlu diberi pencerahan lebih lanjut berhubung rasional penjualan aset-aset TH kepada syarikat milik MOF, Urusharta Jemaah Sdn Bhd sehingga RM17.3 bilion,” katanya.

Beliau seterusnya membangkitkan beberapa persoalan antaranya apakah rasional penjualan aset-aset bernilai tersebut dan apakah ini tidak dikira ‘Bail-Out’, menjual aset-aset bernilai RM17.3 bilion untuk menutup defisit RM4.1 bilion?

Soal beliau lagi ke mana perginya baki RM13.2 billion yang diperoleh dari penjualan aset-aset ini dan sekiranya benar wujud skandal salah laku dan penyelewengan di kalangan Pengurusan TH terdahulu sebagaimana kuat dicanang-canangkan pimpinan PH, mengapa sehingga hari ini tiada sebarang tangkapan atau pendakwaan jenayah dibuat oleh Pihak Berkuasa kepada mana-mana individu terbabit.

“Ini hanya menyerlahkan pendustaan YB Menteri yang berkali-kali mendakwa Pengurusan TH lepas menyalahi Akta dengan membayar Hibah yang besar kepada pendeposit.

“Semua ini hanya mengesahkan lagi tanggapan bahawa apa yang berlaku dalam tempoh PH memerintah adalah suatu sandiwara hebat bagi menutup kegagalan dasar ekonomi Kerajaan Pentadbiran PH sehingga menyebabkan nilaian aset-aset dan pegangan saham-saham utama TH seperti Hap Seng Plantations, Malakoff, UEM Sunrise, IJM dan lain-lain terjejas teruk sekaligus merendahkan nilai aset TH berbanding liabiliti, hingga TH hanya mampu mengagihkan Hibah terendah dalam sejarah iaitu 1.25 peratus,” tegasnya.

Justeru tegas beliau, pergerakan itu sekali lagi mendesak agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat segala dakwaan penyelewengan dalam Lembaga Tabung Haji sebagaimana janji PH segera ditubuhkan.

“Ini bagi mengembalikan keyakinan pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam terus terpelihara,” ujarnya.- UMNO Online

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker