Kerajaan pintu belakang: Paling banyak pun, 99 ahli Parlimen yang sokong

Pertemuan antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan wakil rakyat UMNO pada 18 November bertujuan membincangkan isu “kerajaan pintu belakang” dan usaha mempertahankan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Sinchew Daily melaporkan, pertemuan yang diaturkan Menteri Hal ehwal Ekonomi itu bukan sekadar mengenai peruntukan kepada kawasan sahaja seperti yang dikatakan sesetengah pihak.

Kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) di Tanjung Piai menimbulkan kebimbangan bahawa Dr. Mahathir akan menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di sini Azmin dikatakan bersama Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bertindak segera membentuk “pakatan” untuk mempertahankan kedudukan Dr. Mahathir.

“Azmin memberitahu Ahli Parlimen UMNO bahawa ada orang (Anwar) mahu mendesak Dr. Mahathir melepaskan jawatan.

“Menurutnya lagi, demi kestabilan negara dan politik, mereka harus mengizinkan Dr. Mahathir menjadi PM selama sepenggal secara penuh,” kata sumber itu.

Kata sumber lagi, walaupun Azmin pernah bertemu pemimpin UMNO lain sebelum ini, tetapi ia pertama kali dihadiri sebegitu ramai wakil rakyat UMNO.

Bagaimanapun, paling banyak pun, Azmin dianggarkan sekadar mendapat sokongan 99 orang ahli Parlimen berbanding 112 orang yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

“Azmin memberitahu menerima sokongan 15 orang dari PKR, Hishammuddin sebelum ini ada tujuh tetapi mungkin boleh cecah 22 orang sekarang.

“Tambah 26 orang dari Bersatu, 18 orang dari Pas dan 18 orang dari GPS di Sarawak, jumlahnya hanya 99 orang,” kata sumber yang nampak tidak bimbang dengan “kerajaan pintu belakang”.

Tambah sumber itu, beberapa wakil rakyat asal UMNO yang masuk ke Bersatu sebelum ini sebenarnya mahu menyertai PKR tetapi ditolak, dan mereka adalah pro-Anwar.

Selain itu, Warisan dari Sabah mempunyai hubungan yang mula tegang dengan Bersatu kerana tidak berpuas hati dengan perluasan Bersatu ke negeri itu.

Difahamkan, Azmin menjemput 30 wakil rakyat UMNO menyertai pertemuan, tetapi dihadiri hanya 19 orang.

Keadaan itu bermakna terdapat kesilapan pada senarai hadir yang tersebar melalui media sosial. Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Noraini Ahmad yang ada dalam senarai media sosial difahamkan tidak menerima jemputan.

“Yang menghadiri pertemuan juga tidak semestinya menyokong ‘kerajaan pintu belakang’ yang dirancang,” kata sumber.

Sumber PKR juga memberitahu, Azmin memanggil pertemuan itu walaupun sedar jumlah penyokong “kerajaan pintu belakang” tidak mencukupi kerana mahu mendesak Anwar mengambil tindakan.

“Jika Anwar mengambil tindakan terhadap Azmin, maka Dr. Mahathir perlu membuat keputusan sama ada mahu menyingkirkan golongan tertentu dan mengorbankan hubungan dalam PH,” katanya. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker