Martabat jawi pada papan tanda

Share


KUANTAN – Sejak dahulu lagi tulisan Jawi menjadi bahasa perantara dan pengantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat, perdagangan dan urusan seharian masyarakat.

Sehinggalah selepas tulisan rumi dijadikan tulisan rasmi penggunaan tulisan Jawi semakin lama semakin dilupakan pada hari ini.

Lebih menyedihkan apabila tidak ramai generasi baru yang berkebolehan menulis dan membaca tulisan Jawi dengan baik padahal tulisan berkenaan pernah mencapai zaman kegemilangannya satu ketika dahulu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata masyarakat umat Islam mahukan tulisan Jawi dipopularkan semula di papan-papan tanda supaya tulisan tersebut tidak hilang dari jiwa masyarakat Malaysia.

Mohd Faizzuldin Abdul Rashid, 35, merasakan hiba kerana masyarakat khususnya generasi baharu tidak ramai yang berkebolehan menulis dan membaca tulisan Jawi dengan baik padahal tulisan berkenaan pernah mencapai zaman kegemilangannya satu ketika dahulu.

Menurutnya, dirinya amat bersetuju dengan tindakan kerajaan Pahang menggunakan papan tanda bertulisan Jawi bagi menyemarakkan semula tulisan berkenaan sebagai budaya hidup masyarakat Islam amnya.

“Pendekatan ini sangat bagus kerana jika mereka tidak ambil pendekatan sebegini, lama-kelamaan tulisan Jawi akan luput ditelan zaman.

“Sekurang-kurangnya dapat membantu murid sekolah dan anak-anak kita menguasai tulisan Jawi daripada semasa ke semasa selain daripada buku-buku dibekalkan pihak sekolah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi Nor Asfa Yusuf, 27, turut memberi respon positif dengan tindakan kerajaan negeri yang meletakkan tulisan Jawi di papan nama jalan yang mampu memberi kesedaran kepada masyarakat pentingnya juga memartabatkan tulisan Jawi.

Menurutnya, memartabatkan dan membudayakan penggunaan tulisan Jawi melalui pendekatan tersebut sebenarnya merupakan yang menyeronokkan dan bukan sekadar sebagai suatu pembelajaran.

“Sudah tiba masanya kita menyemarak dan menyuburkan tulisan Jawi yang merupakan warisan kebangsaan.

“Harus di ingat, tulisan Jawi bukanlah bersifat keagamaan tetapi medium penulisan warisan Melayu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Dr Asmadi Abdul Rahman, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan Pahang memberi peluang dan melantik KUIPSAS sebagai pusat rujukan bagi ejaan tulisan Jawi di negeri ini.

Beliau yang juga merupakan Munsyi Dewan Jawi Negeri Pahang akan sentiasa melakukan pelbagai langkah bagi memastikan penggunaan tulisan Jawi diperkasakan di negeri ini.

“Banyak agensi kerajaan dan swasta telah merujuk kepada kita demi memastikan penggunaan tulisan Jawi yang digunakan betul mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Kita juga sedang ke arah untuk melantik seorang pegawai di setiap agensi kerajaan dan akan kita berikan kursus kepada mereka supaya mereka mudah dan terus boleh buat semakan dengan pegawai tersebut,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/47227/EDISI/Pahang/Martabat-jawi-pada-papan-tanda
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *