Bersangka Baik, Mungkin Negara Sedang Alami Krisis Kekurangan Kereta

Sebelum PRU14 yang lepas, seorang pemimpin kanan PKR tersenyum sinis (macam nak tersedak pun ada) bila orang disebelahnya menyebut tentang cadangan untuk mengadakan projek kereta nasional ketiga kalau partinya menjadi kerajaan persekutuan.

Hari ini, projek yang dikatakan itu, nampaknya besar kemungkinan akan berjalan.

Pemerhatian saya di media sosial, rata-rata netizen bersikap seperti mana pemimpin kanan PKR yang disebutkan tadi, sinis, skeptis dan seperti itu.

Antara alasan yang saya baca, negara sekecil kita sudah ada “banyak” syarikat pembuat kereta, pemasang kereta dan seperti itu, nak buat  apa tambah satu lagi? Satu dari dua projek serupa yang sebelum ini pun, terbukti menghabiskan banyak wang rakyat untuk memastikannya terus beroperasi, kata mereka.

Segelintir dari mereka minta alang-alang tu buat benda lain pulak – kapal selam ke, lori tangki atau mesin berat yang lain, balik-balik kereta ni boring juga katanya.  Kalau nak buat kereta juga boleh, buat kereta kebal lah kali ni.

Lagipun kata beberapa netizen lain, bila dah “dinasionalkan” ni, besar kemungkinan akan adalah duit rakyat yang terlibat walaupun ada jaminan sebelum ini, sumber pihak swasta sepenuhnya saja akan digunakan kalau ia berlaku (projek kereta).

Begitupun, seperti mana biasa yang boleh dikaitkan dengan pentadbiran sekarang (janji tak ditepati, barang tak murah, rumah masih mahal dan sebagainya), boleh pakai ke cakap tu?

Ini semua antara kebimbangannya.

Saya bagaimanapun bersangka baik sajalah. Mungkin negara kita hari ini sedang mengalami masalah kekurangan kereta dan kerana itu satu lagi projek kereta seperti ini perlu diwujudkan.

Walaupun ketika saya membesar, hanya KL saja yang saya tahu mengalami masalah kesesakan jalanraya, hari ini kalau dengar info trafik di radio, pekan Kalumpang di Hulu Selangor pun sesak tiap-tiap pagi, tapi itu mungkin sesak sebab banyak lori.

Bukan banyak kereta.

Maka itu, walaupun Amerika sudah merancang dan sudah mula berusaha nak ke planet Marikh tahun 2024, India dah rancang nak hantar manusia ke bulan tahun 2020, negara kita masih nak kena ada projek kereta satu lagi gamaknya, pasal kurang sangat kereta di negara kita.

Kalau tak kena kereta dibandingkan dengan angkasa, kereta terbang ciptaan Rusia pula akan menguasai langit Moscow dan dunia bila-bila masa dari sekarang.

Jauh benar nampaknya beza bila tahap kemajuan diukur sebelah menyebelah, tapi kalau dah itu yang “utama” untuk kita, apa nak dikatakan lagi?

One thought on “Bersangka Baik, Mungkin Negara Sedang Alami Krisis Kekurangan Kereta

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.