Terkejut :C4 desak Peguam Negara, SPRM jelas keputusan lepas, bebas Guan Eng

Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayisa (SPRM) digesa memberi penjelasan mengenai keputusan lepas dan bebas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon daripada dua pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel yang membuat gesaan berkenaan menyatakan, keputusan kes berhubung pembelian banglo di bawah harga pasaran tersebut menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kebebasan dan ketelusan institusi kerajaan.

Selain itu, Cynthia dalam kenyataannya hari ini menyatakan, keputusan tersebut turut menidakkan keperluan untuk menjelaskan kewajaran pendakwaan yang dikenakan terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

“Pendakwaan dimulakan dan diketuai dengan penuh keyakinan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, jadi bagaimana kes ini boleh digugurkan dengan mudah oleh Mahkamah Tinggi?



“Keputusan ini menunjukkan seolah-olah sistem (perundangan) sentiasa memihak kepada kerajaan memerintah atau Peguam Negara sebelum ini dipaksa untuk melakukan pendakwaan tersebut,” kata Cynthia.

Tambah Cynthia, lebih menimbulkan tanda tanya ialah apabila keputusan tersebut tetap dibuat walaupun pihak pendakwaan memohon mahkamah agar melepas tanpa membebaskan kedua-dua tertuduh.

Beliau menegaskan, dalam masa sama, SPRM tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab untuk menjelaskan perkara ini kepada pihak Peguam Negara dengan menyatakan bahawa mereka terkejut dengan perkembangan kes tersebut.

Tegas beliau, kedua-dua SPRM dan Peguam Negara perlu berani menghadapi sebarang tindak balas politik dan tampil dengan penjelasan yang telus mengenai keputusan mahkamah itu.



“Jika SPRM pada mulanya merasakan ada asas untuk mendakwa Guan Eng mereka perlu jelaskannya kepada rakyat.

“C4 berpendapat, mungkin juga perlu dipertimbangkan untuk melaksanakan satu sekatan disiplin bagi mengatasi kekeliruan yang berlaku (dalam kes ini,” katanya.

Utusan



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker