Wajar timbang kekal GST pada kadar tiga peratus – Pakar Cukai

Kerajaan wajar menimbang untuk mengekalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan merendahkan kadar cukai itu daripada enam peratus kepada tiga peratus berbanding memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 2.0, demikian menurut pemerhati industri.

Pengerusi Eksekutif Axcelasia Taxand Inc, Dr Veerinderjeet Singh, berkata langkah kerajaan melaksanakan GST berkadar sifar selama tiga bulan mulai 1 Jun lalu juga dilihat tidak membantu menurunkan harga barang seperti yang diharapkan.

“Rakyat ketika ini mengeluh dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi. Adalah lebih baik jika GST dikekalkan, namun pada kadar yang lebih rendah berbanding memperkenalkan semula SST 2.0 pada kadar 10 peratus dan enam peratus seperti yang dicadangkan kerana pengenalan semula sistem SST ini dilihat sebagai satu langkah ke belakang.

“Anda hapuskan keseluruhan sistem (GST) dan melaksanakan semula sistem cukai lama. Jika mahu rakyat gembira, anda sepatutnya hapuskan saja cukai itu dan jangan kenakan apa-apa cukai. Justeru, gunakan sistem sedia ada (GST) namun rendahkan kadarnya,” katanya pada taklimat media mengenai Seminar SST anjuran Taxand di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Axcelasia Taxand Sdn Bhd, Leow Mui Lee.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) menjangkakan kira-kira 6,400 jenis barangan akan dikenakan SST berbanding 11.197 barangan yang dikenakan GST sebelum ini.

Terdapat 470,000 syarikat pengeluar yang berdaftar dengan sistem MyGST dan kira-kira 70,000 daripada jumlah itu dipindahkan ke dalam sistem MySST secara berperingkat mulai minggu ini.

Veerinderjeet berkata, jika kerajaan tetap melaksanakan semula SST, kadar cukai yang dikenakan sepatutnya lebih rendah iaitu pada kadar purata lima peratus untuk jualan dan perkhidmatan.

Beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang percukaian berkata, pihaknya menantikan langkah yang akan diambil kerajaan untuk mengawal kenaikan harga barang.

“Persoalannya, adakah dengan pelaksanaan SST September ini, harga barang akan naik? Sudah tentu. Sebabnya kita bandingkan dengan harga pada Ogos.

“Saya sarankan kerajaan mengeluarkan satu senarai perbezaan harga barangan ketika SST dilaksanakan dan bandingkan dengan harga pada Mei ketika GST dilaksanakan bagi mengelakkan pengguna keliru,” katanya.

BH

3 thoughts on “Wajar timbang kekal GST pada kadar tiga peratus – Pakar Cukai

  • August 3, 2018 at 5:03 PM
    Permalink

    Yang ini aku setuju dan sokong. 3% GST.

    Reply
    • August 3, 2018 at 9:21 PM
      Permalink

      Kalau 3% akan ada balik penggunaan 1 sent.

      Reply
      • August 3, 2018 at 10:13 PM
        Permalink

        Waktu pembayaran pembundaran masih boleh dilakukan seperti sekarang.

        Reply

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.