Tempoh Hukuman Untuk BN, Dan ”Wake Up Call” Untuk Raja Raja Melayu

Share


Musim Aidilfitri in merupakan tempoh yang cukup sesuai bukan sahaja untuk kita bermaaf-maafan, tetapi untuk kita kenang kembali masa lalu, bersyukur untuk apa yang dikecapi, serta berdoa untuk masa hadapan.

2. Semua yang berlaku ada hikmahnya, dan Allah SWT tahu apa yang terbaik.

3. Barisan Nasional telah dihukum apabila ia hilang kedudukan sebagai kerajaan persekutuan, buat pertama kali sejak penubuhannya.
4. Majoriti meletakkan kesalahan ke atas 1MDB, serta salah guna kuasa oleh pemimpin UMNO, manakala sebahagian lagi menyalahkan sikap sombong atau keangkuhan pemimpin terhadap masyarakat umum.

5. Sepertimana yang telah saya jangkakan, keinginan yang memuncak sebelum PRU14 itu adalah untuk melihat sesuatu yang mustahil telah berlaku.

6. Pertamanya, menjadi saksi kepada kejatuhan parti yang tertua di dunia.

7. Keduanya, melantik seorang individu berusia 93 tahun untuk kembali ke pejabat Perdana Menteri.

8. Tetapi Allah itu Maha Besar. Tatkala BN mungkin sudah jatuh, UMNO masih lagi kekal sebagai satu parti yang mempunyai kerusi Parlimen terbanyak berbanding parti-parti lain tanpa gabungan.

9. Kisah dongeng yang sering diceritakan bagaimana orang Melayu hampir keseluruhan telah menolak UMNO bagi menyokong parti Melayu alternatif iaitu Bersatu (PPBM), cuma sekadar kisah rekaan semata-mata.
Fakta 1: UMNO mempunyai 41 kerusi lebih banyak berbanding Bersatu dalam Dewan Rakyat (UMNO – 54 / PPBM – 13).
Fakta 2: UMNO mempunyai 111 kerusi lebih, berbanding Bersatu di Dewan Undangan Negeri (UMNO – 139 / PPBM – 28).

10. Kami (UMNO) masih merupakan parti pilihan di kalangan orang Melayu, jauh sekali terkubur dari segi politik. Ahli-ahli UMNO bawahan harus berwaspada dan tidak perlu gusar.

11. PPBM dilihat sebagai parti Melayu yang lebih baik hanya kerana Perdana Menteri kini dilantik dari parti itu.

12. Apa yang mereka tidak sedar ialah Pengerusi mereka hanyalah Perdana Menteri minoriti dikalangan gabungan kerajaan dimasa kini, yang mana beliau boleh diminta berundur sebagai Perdana Menteri pada bila bila masa sahaja sejurus beliau menyelesaikan apa jua permasalahan awal, termasuk membuang sekutu-sekutu dari rejim terdahulu, dan mewujudkan kerajaan yang berfungsi sepenuhnya untuk Malaysia baharu ini.

13. Apabila semua itu selesai, tempoh masa beliau sebagai Perdana Menteri mungkin akan menjadi singkat sekiranya beliau memilih untuk terus kekal dalam Pakatan tanpa sebarang perancangan. Mujurlah Tun bukan jenis individu yang tiada perancangan.

14. Sementara pembetulan dalam pasaran politik ini berlaku dengan meletakkan UMNO dalam ‘tempoh hukuman’, ia juga harus dilihat sebagai satu “wake up call” bagi Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, yang mana mereka juga kini dinilai oleh rakyat sebagaimana parti-parti politik dinilai.
15. Sejak 2015, atas kapasiti saya sebagai seorang ahli Dewan Undangan Negeri, saya sentiasa menggesa dan menasihati Istana agar mereka menjauhkan diri dari politik dan perniagaan, bagi mengelakkan salah guna kuasa, serta kemungkinan penolakan dari rakyat sendiri.

16. Kini, seperti mana yang saya jangkakan, individu-individu yang memegang takhta turut diperhatikan rakyat.
17. Di bawah kerajaan baharu ini, setiap transaksi perniagaan, serta ‘titah’ yang dikelaurkan ke atas penjawat-penjawat awam yang telah melangkaui sempadan undang-undang, tidak akan terlepas dari pemeriksaan.
18. Dan saya pasti, apabila cengkaman politik mereka mula meluas, penjawat awam pun akan membelakangkan tuan mereka demi menyelamatkan diri sendiri, apatah lagi mereka yang sebelum ini menjalankan tugas di bawah tekanan, akan mula bersuara dan memberi keterangan.

19. Di suatu ketika dahulu kaum Melayu lah yang paling kuat mempertahankan institusi DiRaja dari serangan, namun kini ianya sudah luntur sedikit, apatah lagi melihat kegagalan sesetengah Raja mempertahankan kepercayaan dan kepentingan kaum Melayu dalam isu-isu dan lebih mementingkan kaum lain.

20. Perkara ini telah saya nyatakan dalam blog saya The Patriot, bertajuk “Leave Palace Out Of Politics” pada 25 Ogos, 2015.

http://tpj-one-thepatriot.blogspot.com/2015/08/leave-palace-out-of-politics.html?m=0
21. Perenggan terakhir terang-terang menyatakan keberangkalian perkara yang sedangpun berlaku pada hari ini, dan ianya ditulis tiga tahun yang lepas.
22. Namun demikian, adalah penting untuk kaum Melayu untuk terus mengekalkan simbol warisan kita, iaitu sistem Raja Berpelembagaan.

23. Walaubagaimanpun, jika ada individu-individu yang menyalahgunakan takhta mereka untuk kepentingan diri sendiri, individu itu harus diadili dengan segera dan sebaiknya, bagi menyelamatkan institusi Diraja dari menjadi mangsa kemarahan rakyat jelata.

24. Kerajaan Barisan Nasional dahulu ternyata terlalu berlembut, dan berlebih-lebihan dalam menunjukkan penghormatan kepada Istana, hingga beberapa keputusannya telah menyumbang kepada kekalahan kita dalam pilihan raya.

25. Adalah penting supaya Kebawah Duli Raja-Raja kini memainkan peranan yang lebih tepat terhadap peruntukan yang telah pun sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mengelakkan keadaan yang kurang senang di kalangan rakyat yang selama ini setia kepada Istana.

Daulat Tuanku. Selamat Hari Raya, Maaf Dzahir Dan Bathin.

Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid B Tan Sri Tengku Hamid Jumat
Calon Ahli Majilis Tertinggi UMNO Malaysia 2018-2021


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *