Suntik modal maju tanah wakaf

Pembangunan pesat tanah wakaf di negara ini menjadi agenda kerajaan ketika pemerintahan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pencapaian dan strategi masa depan wakaf seakan terbela apabila Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) ditubuhkan pada 2004.

Suntikan modal untuk pembangunan tanah wakaf dizahirkan Tun Abdullah melalui Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) pada 31 Mac 2006 di Dewan Rakyat.

“Di samping itu, kita akan membangunkan sumber modal Bumiputera, seperti tanah dan harta wakaf di bawah tanggungjawab pihak berkuasa agama Islam negeri.

“Pihak berkuasa agama Islam negeri perlu mengambil tanggungjawab fardu kifayah, berperanan aktif membangunkan ekonomi umat Islam dan membantu usaha pembangunan insan,” katanya.

Ketika itu, Kerajaan Persekutuan meluluskan siling peruntukan RM256.4 juta bagi membantu majlis agama Islam negeri (MAIN) membangunkan tanah wakaf yang disifatkan highest and best use. Melalui konsep ini, tanah wakaf dipilih MAIN akan dibangunkan, ialah penggunaan tertinggi dari sudut ekonomi dan terbaik dari sudut fizikal.

Justeru, ia berjaya membawa nafas baharu dalam pembangunan tanah wakaf di negara ini. Sebanyak 23 projek pembangunan tanah wakaf direalisasikan melalui RMK-9.

Hasil suntikan modal ini, wujud lima hotel wakaf tersohor di negara ini yang gah beroperasi setanding hotel jenama lain hingga kini.

Namun, selepas 14 tahun berlalu, tiada lagi suntikan modal Kerajaan Persekutuan untuk projek pembangunan tanah wakaf. Ini menyebabkan pembangunan tanah wakaf diterokai sendiri oleh MAIN.

Bagaimanapun, MAIN tidak pernah berhenti membangunkan tanah wakaf seperti dapat dilihat pada produk tanah wakaf yang berjaya dibangunkan tanpa suntikan modal Kerajaan Persekutuan.

Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) misalnya, membangunkan perumahan di tanah wakaf melalui projek sulungnya, Taman Perumahan Waqaf Seetee Aisah di Seberang Jaya. Malah, MAINPP mengorak langkah membangunkan Taman Perumahan Waqaf Seetee Aisah fasa 2 dan banyak lagi taman perumahan wakaf lain yang akan menyusul.

Di Kedah, kerjasama erat antara Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dengan Majlis Agama Islam Kedah, membolehkan sekolah zakat pertama dibina di tanah wakaf dengan peruntukan RM38.7 juta. Sekolah zakat itu memberi anjakan paradigma dalam pembangunan pendidikan pelajar asnaf miskin melalui kerjasama zakat dan wakaf.

Secara dasarnya, MAIN boleh berdiri tanpa mengharapkan modal suntikan Kerajaan Persekutuan. Namun, jika MAIN boleh berdikari, bukan satu kesalahan Kerajaan Persekutuan menghulurkan bantuan meringankan beban MAIN, selain mengukuhkan hubungan antara negeri dengan persekutuan.

Hubungan Kerajaan Persekutuan dan MAIN sangat dinamik. MAIN diketuai Sultan dan Raja yang menjadi Ketua Agama bagi setiap negeri beraja. Pengaruh hubungan politik Kerajaan Persekutuan dan MAIN dilihat seperti ‘menarik rambut dalam tepung, tepung tidak berselerak, rambut tidak putus.’

Setidak-tidaknya dengan suntikan modal Kerajaan Persekutuan, ia dapat memberi nilai tambah pada hubungan dua hala ini, sekali gus memberi imej baik pada keprihatinan terhadap MAIN.

Sejajar slogan Kerajaan Prihatin yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, amat diharapkan agar dana suntikan modal bagi pembangunan hartanah wakaf dapat dihidupkan semula.

Apabila tiba masanya, wakaf akan berdiri sendiri sepenuhnya dan boleh membantu kerajaan seperti yang berlaku di Mesir. Ketika Kerajaan Mesir memerlukan dana, Universiti Al-Azhar yang beroperasi berdasarkan wakaf, dapat membantu kerajaan yang ketandusan sumber kewangan pada ketika itu.

Justeru, suntikan modal Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan tanah wakaf dapat memperkasakan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan mewujudkan hubungan yang kukuh antara Institusi Diraja dan MAIN dengan Kerajaan Persekutuan. BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker