Dilarang rentas negeri bawa ayah ke hospital, wanita ratap kematian arwah, hampa polis ‘biadab’


Seorang wanita hampa dengan layanan polis, yang menurutnya, menyebabkan beliau tidak dibenar merentas negeri untuk membawa ayahnya ke hospital. Ayahnya meninggal dunia empat hari selepas permohonannya itu ditolak.

“Kalau dah ‘pergi’ (meninggal dunia) memang takkan kembali. Saya dan adik-adik yang tanggung penyesalan seumur hidup,” kata Aida Najwa Nasir ketika dihubungi FMT.

Pada petang Sabtu, Aida, 26, ke Balai Polis Salak Selatan untuk memohon kebenaran merentas negeri bagi membawa ayahnya, Nasir Nordin, 52, ke Hospital Seremban, selepas dihubungi arwah yang mengadu jarum tapak dialisisnya tercabut dan perlu dibetulkan.

Selain memerlukan dialisis untuk sakit buah pinggang, Nasir juga seorang Orang Kurang Upaya.

Berserta permohonan rentas negeri, Aida menyediakan dokumen sokongan seperti salinan kad pengenalan, salinan kad OKU ayahnya, dan salinan temujanji rawatan dialisis.

Namun semua itu tidak memadai bagi pegawai yang menguruskan permohonannya. Menurut siswazah itu, beliau ketika itu belum dapat menyediakan surat rujukan doktor pusat dialisis untuk membawa ayahnya ke hospital.

Dalam catatan Facebooknya, Aida berkata beliau memberitahu pegawai berkenaan bahawa kebiasaanya ibu saudara yang membawa ayahnya untuk rawatan.

Aida tersentak apabila polis itu bertanya, “habis tu makcik mana? Dah mati?”

Seterusnya, polis itu bertanya kenapa dua adiknya tidak boleh menghantar ayah mereka ke hospital.

“Aku jawab ‘Tak. Adik saya kerja. Seorang lagi tak boleh memandu’. Polis pun dengan selamba ‘Kalau tak pandai memandu, takkan tempah Grab pun tak pandai?”

Kemudian polis bertanya adakah ayah mempunyai jiran yang boleh membantu membawanya ke hospital.

“Macam tak percaya dia boleh suruh jiran, bukan (benarkan) anak sendiri (untuk bawa ayah ke hospital). Aku bukan tak lampirkan bukti Abah sakit. Aku cetak surat dialisis, MyKad, kad OKU…semua aku bagi. Tapi tak dapat juga.”

Menurut Aida, alasan pegawai berkenaan menolak permohonannya adalah “bukti tak cukup kukuh”.

“Allah saja tahu rasa hati macam mana. Kau dah lah tak nak bagi orang rentas negeri walaupun bagi aku itu satu kecemasan. Lepas tu soalan pun nak tanya dengan biadab. Aku cuba sabar sebab aku di balai polis. Nanti apa-apa, susah,” tulisnya.

Apabila Aida akhirnya dibenarkan merentas negeri dari Bandar Tun Razak ke Nilai, ihsan pihak berkuasa terasa pahit baginya kerana kebenaran akhirnya diberi untuk melihat jasad ayah.

Aida tidak dapat mengelak membandingkan pengalamannya dengan liputan sekitar aktiviti rentas negeri membabitkan golongan berada.

“Keadilan perlu untuk semua rakyat, jangan pula golongan ‘Kayangan’ boleh, rakyat biasa tak boleh,” katanya.

Jarak antara Bandar Tun Razak, di mana Aida menetap, dan Nilai, yang terletak kediaman ayahnya, dianggarkan 40km, sekitar 46 minit perjalanan melalui Lebuhraya Utara-Selatan.

“Saya mahu kisah ini dijadikan pengajaran oleh semua pihak. Terutama polis, gunakan lebih budi bicara dalam memudahkan urusan rakyat,” katanya.

“Saya berada di balai tidak lama, kerana tak ramai orang, hanya sekitar 10 minit. Apa yang saya kesalkan adalah sikap dan layanan polis serta budi bicara dalam meneliti permohonan rentas negeri saya.”

Aida berkata beliau tidak bercadang membuat aduan rasmi terhadap layanan yang diterimanya di Balai Polis Salak Selatan, namun “jika polis ingin membuat siasatan mengenai kejadian itu saya sedia bekerjasama. Setakat ini polis belum menghubungi saya.” FMT

Ini maklumat yang perlu dan tak perlu diberi ketika melalui ‘Sekatan Jalan Raya’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker