FDA benarkan jualan iQOS sebagai produk tembakau kurang risiko

PENTADBIRAN Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) akhirnya memberi kebenaran kepada Philip Morris International Inc untuk memasarkan iQOS sebagai produk tembakau yang kurang risiko kepada perokok.

Keputusan yang dikeluarkan pada Selasa lalu itu dibuat selepas ada bukti menunjukkan produk tembakau yang dipanaskan menghasilkan kurang bahan kimia berbanding rokok konvensional.

FDA dalam laman webnya bagaimanapun memaklumkan kebenaran penjualan yang diberi adalah di bawah kategori produk tembakau risiko yang diubah suai (MRTP).

Kebenaran ini memerlukan Philip Morris menjalankan pemantauan pasca pemasaran bagi memastikan pematuhan MRTP termasuk potensi peningkatan penggunaan dalam kalangan remaja.

”Sasaran FDA adalah untuk memastikan maklumat yang sampai kepada pengguna ialah risikonya hanya sedikit rendah berbanding penggunaan produk tembakau yang dibakar berdasarkan bukti saintifik.

”Berdasarkan data saintifik yang dihantar syarikat berkenaan, penjualan produk ini dengan maklumat yang dibenarkan mampu membantu perokok dewasa beralih kepada sesuatu yang lebih berisiko rendah jika mereka beralih sepenuhnya daripada rokok yang dibakar,” kata Pengarah Pusat Produk Tembakau FDA, Mitch Zeller.

Tambah Zeller, FDA bagaimanapun akan terus memantau penggunaan iQOS bagi memastikan ia tidak menarik pengguna baharu dalam kalangan remaja.

Menurutnya, pengguna juga perlu sedar bahawa produk berkenaan tidak selamat dan sesiapa yang belum menggunakan sebarang produk tembakau diingatkan agar tidak sama sekali mencubanya.

Kenyataan yang dibuat oleh FDA itu juga bukan bermaksud produk ini mendapat kelulusan badan itu atau selamat digunakan tanpa sebarang risiko.

Selain itu, Philip Morris juga perlu memohon kebenaran penjualan setiap empat tahun dan kebenaran itu boleh ditarik pada bila-bila masa jika FDA merasakan produk berkenaan memberikan lebih banyak kesan buruk terutama jika wujud pengggunaan dalam kalangan remaja.

Sementara itu, Pengarah Urusan Philip Morris Malaysia, Naeem Shahab Khan berkata syarikat itu menyambut baik keputusan FDA untuk membenarkan iQOS dijual di Amerika Syarikat (AS) sebagai MRTP.

“Ini menunjukkan IQOS adalah sangat berbeza berbanding rokok.

“Ia juga menunjukkan bukan semua produk mengandungi tembakau dan nikotin adalah sama,” kata Naeem.

Tambahnya, walaupun berhenti merokok adalah pilihan yang paling baik, namun tidak ramai yang memilihnya.

Sehubungan itu, katanya, pengguna di Malaysia layak mendapat maklumat yang tepat bagi membantu mereka membuat keputusan yang lebih baik berbanding terus merokok.
Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker