Pemerhati Burung Temui Syiling Emas Celtic Berusia 2,000 Tahun Bernilai RM4.62 juta

UNITED KINGDOM – Ibarat bulan jatuh ke riba, seorang pemerhati burung berjaya temui harta karun berbentuk duit syiling emas sewaktu berhenti untuk melihat beberapa ekor burung.

Menurut laporan majalah Treasure Hunting, pemerhati burung yang enggan dikenali itu berjaya menemui sebanyak 1,300 keping duit syiling emas Celtic dipercayai berusia 2,000 tahun dan bernilai sekitar RM4.62 juta.

Lelaki yang juga merupakan pengesan logam amatur itu memaklumkan bahawa dia telah menemui harta karun itu secara tidak sengaja ketika melihat sepasang burung murai bertembung antara satu sama lain.

“Saya melihat kilauan emas dan menyedari ia adalah duit syiling Celtic yang sangat cantik sekali gus membuatkan saya terduduk. Kemudian, saya menemui duit syiling kedua kira-kira dua kaki dari syiling yang pertama. Saya terus bergegas ke rumah untuk mengambil alat pengesan logam”.

Sekembalinya ke kawasan tersebut bersama alat berkenaan, lelaki itu mendapati alat pengesan logamnya mengeluarkan isyarat yang kuat. Isyarat ini menandakan bahawa terdapat harta karun yang tertanam di dasar bumi.

Dia kemudian mengorek kawasan tersebut sedalam 18 inci dan berjaya mengeluarkan sebuah kapal tembaga yang penuh dengan syiling emas sejak zaman ketika Ratu Celtic Boudica memimpin pemberontakan besar-besaran terhadap orang Rom.

“Saya terpaksa duduk untuk mengambil nafas. Saya cuma keluar untuk berjalan-jalan tetapi telah menemui harta karun Celtic yang menimbun”.

Dia kemudian memunggah kesemua duit syiling emas itu ke dalam dua beg besar dan pulang ke rumah. Setelah itu, dia menghubungi pihak berkuasa tempatan bagi melaporkan penemuan mengejutkan itu.

“Syiling ini membawa sumbangan yang besar kepada ilmu pengetahuan dan akan menjadi subjek penilaian untuk masa akan datang. Kemungkinan besar syiling emas ini diperoleh daripada peti peperangan sewaktu zaman Boudica,” jelas editor Treasure Hunting mengenai duit syiling emas yang akan diserahkan kepada muzium dan sebahagian keuntungan akan diberikan kepada lelaki yang berjaya menemui harta karun tersebut.-EraBaru

Sumber: DailyMail

53 tahun Syiling Tersumbat Di Hidung

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker