Johari Bincang Kerjasama Strategik Dengan EU-ABC

Johari Bincang Kerjasama Strategik Dengan EU-ABC

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menerima kunjungan hormat daripada delegasi Majlis Penasihat Perniagaan Kesatuan Eropah-ASEAN (EU-ABC) sempena Misi Perniagaan EU-ABC ke Malaysia 2026 bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara Malaysia serta Kesatuan Eropah (EU).

Menurut beliau, pertemuan tersebut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu strategik yang mampu memperkukuh hubungan ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.

“Pertemuan ini memberi peluang kepada kami untuk bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Kesatuan Eropah. Hubungan yang lebih erat ini penting dalam memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Johari berkata demikian menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau selepas mengadakan pertemuan bersama delegasi berkenaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa perbincangan menyentuh perkembangan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA), yang dilihat berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada komuniti perniagaan dan pelaburan.



DISYORKAN UNTUK ANDA :

Rais Santuni Peniaga, Tinjau Persiapan Hari Landskap Negara 2026


“Kami turut membincangkan perkembangan rundingan MEUFTA yang berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan dan pelaburan kedua-dua pihak. Malaysia kekal komited untuk memperluaskan kerjasama ekonomi berasaskan kepentingan bersama,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Johari berkata beliau turut berkongsi pendirian Malaysia berhubung isu tarif Amerika Syarikat berkaitan siasatan di bawah Seksyen 301.

 

Johari Bincang Kerjasama Strategik Dengan EU-ABC

“Malaysia akan terus mengamalkan perdagangan yang terbuka, telus dan berasaskan peraturan. Pendirian ini penting bagi memastikan ekosistem perdagangan global terus stabil dan memberi manfaat kepada semua rakan dagang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kedua-dua pihak turut mengenal pasti potensi kerjasama dalam pelbagai sektor strategik termasuk ekonomi kitaran, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau serta bidang-bidang berimpak tinggi yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.

Beliau optimis hubungan erat Malaysia dengan Kesatuan Eropah akan terus diperkukuhkan melalui kerjasama strategik yang mampu merangsang pelaburan berkualiti, meningkatkan daya saing industri tempatan serta mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi untuk rakyat. – UMNO Online

DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

ANGKASA Perkukuh Rantaian Bekalan Demi Lonjak Prestasi Koperasi – Abdul Fattah

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker