KUSKOP Terus Perkasa Usahawan Bumiputera Ceburi Sektor Bernilai Tinggi

KUSKOP Terus Perkasa Usahawan Bumiputera Ceburi Sektor Bernilai Tinggi

KUSKOP Terus Perkasa Usahawan Bumiputera Ceburi Sektor Bernilai Tinggi

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh penyertaan usahawan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera dalam sektor pertumbuhan dan bernilai tinggi (HGHV) menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, usaha itu dilaksanakan selaras dengan Pelan Strategik Perniagaan (BSP) SME Corp. Malaysia 2022-2030 yang memberi penekanan kepada peningkatan penglibatan PMKS dalam industri berimpak tinggi serta sektor strategik seperti teknologi digital, tenaga boleh baharu, aeroangkasa dan ekonomi hijau.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, antara inisiatif utama ialah Program BRAVE (Bumiputera Rapid Acceleration & Value Enhancement) yang diperkenalkan bagi mempercepatkan pertumbuhan PKS Bumiputera berpotensi tinggi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Program ini diperuntukkan RM15 juta secara ‘one-off’ dan menawarkan pembiayaan sehingga RM1 juta pada kadar keuntungan 3.5 peratus, pembangunan kapasiti, pengukuhan tadbir urus korporat serta akses kepada pasaran modal.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Mohd Salim Ajak Semua Kembali Bersama UMNO, Perkukuh Kekuatan BN


“Sejak dilaksanakan pada 2025 hingga Jun 2026, seramai 27 PMKS Bumiputera telah menyertai program ini dengan sasaran antara lima hingga 10 PKS disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2030,” katanya.

Mohamad berkata Program Peningkatan Industri Strategik dan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE) 2.0 turut menyediakan pinjaman tanpa cagaran sehingga RM1 juta, geran padanan sehingga RM300,000, pembangunan kapasiti serta padanan perniagaan bagi membantu PKS dalam industri berpertumbuhan tinggi.

Sehingga Jun 2026, katanya, sebanyak 12 PKS Bumiputera telah diluluskan pinjaman dan geran berjumlah RM4.9 juta melibatkan sektor Elektrikal dan Elektronik (E&E), bioteknologi serta peranti perubatan.

Selain itu, katanya, Dana Pemangkin Penskalaan PKS yang diperuntukkan RM15 juta bagi Bumiputera menawarkan pembiayaan sehingga RM1 juta pada kadar keuntungan serendah 3.5 peratus setahun dengan rebat bersyarat sehingga 30 peratus untuk modal kerja dan perbelanjaan modal termasuk automasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembungkusan serta penjenamaan.

Beliau berkata sehingga Jun lalu, sebanyak 28 PKS Bumiputera telah diluluskan pinjaman bernilai RM10.8 juta termasuk lima PKS dalam industri E&E, aeroangkasa, peranti perubatan dan teknologi maklumat serta komunikasi (ICT) dengan kelulusan berjumlah RM1.2 juta.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

‘Jangan Lupa Janji!’, Armand Azha Ingatkan Nga Kor Ming


Dalam masa sama, Program PKSlestari terus diperkasakan bagi menggalakkan penerapan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan PMKS menerusi pembiayaan sehingga RM1 juta, rebat bersyarat sehingga 30 peratus serta program pembangunan kapasiti.

Menurut beliau, sehingga Jun 2026, seramai 385 PMKS Bumiputera telah menerima manfaat daripada program tersebut.

Mohamad turut memaklumkan Program Kesediaan PKS untuk Penyenaraian (PKS@Bursa) menyediakan sokongan pembiayaan dan pembangunan kapasiti bagi membantu PKS mengakses pasaran modal melalui penyenaraian di Bursa Malaysia.

“Sehingga Jun 2026, seramai 16 PKS Bumiputera telah menyertai sesi bimbingan sebagai persediaan ke arah penyenaraian di Bursa Malaysia,” katanya. – UMNO Online

KUSKOP Terus Perkasa Usahawan Bumiputera Ceburi Sektor Bernilai Tinggi


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kerajaan Negeri Melaka Komited Perkasa Agenda Perumahan Demi Kesejahteraan Rakyat

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker