Curi barang kemas orang mati: Kertas siasatan diserah AGC

Oleh – Syeikh Baran

Curi barang kemas orang mati: Kertas siasatan diserah AGC

Kertas siasatan babit empat anggota polis susulan kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam kereta pada 1 Oktober lalu, diserah ke Pejabat Peguam Negara (AGC) semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kertas siasatan berhubung kes itu telah dilengkapkan.

“Kertas siasatan itu sebelum ini telah diserahkan kepada Bahagian D5 (Pendakwaan / Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, sebelum dirujuk ke AGC.

“Empat anggota polis ditahan reman tiga hari sehingga Sabtu dan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Progam Pendekatan Kesedaran Kes Jenayah Seksual dan Penipuan Dalam Talian di Dewan Serbaguna Kompleks Taman Tasik Metropolitan Kepong, di sini, hari ini.

Rusdi berkata, pihaknya mencadangkan pertuduhan terhadap suspek di mahkamah.

“Mereka masih bertugas dan kita menunggu tindakan lanjut,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, empat anggota polis ditahan di sekitar Setapak, di sini berhubung kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam kereta pada 1 Oktober lalu.

Pada awalnya kes diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP), namun selepas memperoleh beberapa keterangan, ia beralih semula mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Tangkapan dilakukan terhadap anggota polis berpangkat konstabel hingga koperal berusia antara 28 hingga 35 tahun.

Polis juga membuat rampasan membabitkan sekeping resit dan seketul logam berwarna kekuningan dianggarkan seberat 11.52 gram.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker