Najib kecewa Mahkamah Tinggi arah bela diri – Peguam

Oleh – Syeikh Baran

Najib kecewa Mahkamah Tinggi arah bela diri – Peguam

Datuk Seri Najib Abdul Razak menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi selepas memerintahkan dirinya membela diri atas 25 tuduhan penyelewengan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, pasukan peguam yang membela bekas Perdana Menteri itu turut merasakan perasaan sama sebaik perintah itu dikeluarkan makhamah, hari ini.

“Kita merasakan sangat kecewa dengan keputusan pada hari ini. Anak guam saya juga merasakan perkara yang sama,” Katanya pada sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Tambah Shafee, lebih 11 saksi dijangka akan memberi keterangan bagi sesi pembelaan diri bekas Perdana Menteri itu yang akan dijalankan 2 Disember ini.

“Berkenaan berapa ramai yang akan terlibat dalam mengambil keterangan membela diri adalah tidak kurang daripada 11 saksi,” katanya.



Kata beliau, keadaan anak guamnya itu berada dalam keadaan baik dan sihat.

Hari ini, Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri atas 25 tuduhan penyelewengan berkaitan dana 1MDB.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.



Seramai 50 saksi memberi keterangan ketika kes pendakwaan yang berlangsung selama 253 hari antara 28 Ogos 2019 hingga 30 Mei lalu.

Antara saksi utama termasuk bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz dan bekas peguam 1MDB Loo Ai Swan, yang turut dikenali sebagai Jasmine Loo.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker