Culik ahli perniagaan: Pistol, gari dan wang tebusan RM7.2 juta dirampas

Oleh – Syeikh Baran

Culik ahli perniagaan: Pistol, gari dan wang tebusan RM7.2 juta dirampas

Pihak polis berjaya mendapatkan semula sebahagian daripada wang tebusan bagi membebaskan ahli perniagaan yang diculik pada 13 Oktober lalu berjumlah kira-kira RM7.2 juta.



Ahli perniagaan berusia 59 tahun itu diculik kira-kira pukul 5 pagi dan dibebaskan kumpulan penjenayah kira-kira pukul 12 tengah hari setelah memperoleh wang tebusan berjumlah RM20 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, jumlah wang yang diperoleh itu melibatkan bayaran dalam bentuk wang tunai dan mata wang kripto.

“Ia melibatkan wang tunai RM1.95 juta dan mata wang Singapura, SGD1 juta (RM3.3 juta) dan selebihnya dalam bentuk mata wang kripto (RM1.75 juta).

“Hasil operasi yang dijalankan, pihak polis juga merampas sepucuk pistol jenis Pietro Beretta dipercayai bukan pistol tiruan, 250 butir peluru hidup dan sepasang gari,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.



Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, sehingga kini seramai 14 individu telah ditahan membabitkan kes itu dalam beberapa siri serbuan antara 22 Oktober lalu hingga semalam.

Katanya, pihaknya telah mengenal pasti peranan setiap individu dalam kes penculikan itu antaranya dalam konteks perancangan dan pelaksanaan culik, melupus barang kes serta pengurusan wang tebusan.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis masih menyiasat motif dan dalang kes penculikan ahli perniagaan itu yang merupakan seorang pemaju hartanah.

“Berhubung seorang ahli keluarga mangsa yang dilaporkan turut ditahan, ia masih dalam siasatan. Kita tidak boleh maklumkan identitinya kerana mungkin akan mengganggu siasatan tetapi saya boleh sebut dia adalah wanita,’’ katanya.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker