Culik ahli perniagaan: Reman tiga warga Vietnam disambung 7 hari lagi
Oleh – Syeikh Baran
Tempoh reman terhadap tiga suspek warga Vietnam berhubung siasatan kes seorang ahli perniagaan yang mendakwa dilarikan sekumpulan individu pada 13 Oktober lalu, disambung tujuh hari lagi bermula esok.
Ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita berusia 30-an sebelum ini telah ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Semalam, mahkamah sama membenarkan tempoh reman terhadap 10 suspek termasuk dua wanita tempatan berusia 30 tahun hingga 50-an yang berakhir semalam disambung tujuh hari lagi bagi membantu kes berkenaan.
Turut ditahan reman selama tujuh hari adalah seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 30-an yang ditahan di kawasan Senai, kelmarin.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang ahli perniagaan mendakwa dilarikan sekumpulan individu dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, ketika sedang menunggu perkhidmatan e-hailing di rumahnya untuk ke lapangan terbang bagi urusan perniagaan di luar negara.
Mangsa berusia 59 tahun itu mendakwa dia dibebaskan pada hari yang sama hanya selepas keluarganya membayar wang tebusan berjumlah RM20 juta.
Sumber – KOSMO! ONLINE