Alif Teega mengaku tak salah guna wang infak RM63,605

Oleh – Syeikh Baran

Alif Teega mengaku tak salah guna wang infak RM63,605

Pempengaruh popular Alif Teega mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan menyalah guna wang berjumlah RM63,605 untuk tujuan infaq pada April dan Jun lalu.



Alif Teega atau nama sebenarnya Mohd. Hazalif Mohd. Hazani, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah secara tidak jujur menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM36,047.35 bagi tujuan Infaq Iftar Di Mekah, Syria, Palestin.

Sementara pertuduhan kedua tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM27,558.13 bagi tujuan program Jom Sertai Infaq Daging Qurban.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di di CIMB Bank, KL Gateway, Jalan Kerinci, di sini masing-masing pada 26 April dan 15 Jun lalu.

Justeru bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.



Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pertuduhan semula dibuat selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kelmarin membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke mahkamah di sini, untuk dibicarakan bersama 10 kes lain.

Pada 23 September lalu, Alif dan isterinya Aisyah Hijanah Azhari, 26, telah didakwa di Mahkamah Sesyen atas 10 pertuduhan niat bersama menyalahgunakan wang infak lebih RM1.52 juta tiga tahun lalu.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin memohon mengekalkan tarikh sebutan penyerahan dokumen pada 27 November depan dengan jaminan RM50,000 yang dikenakan kepada Alif dilanjutkan.



Perkara itu tidak dibantah peguam Mohd. Shahrullah Khan yang mewakili pempengaruh tersebut.

Hakim kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker